Kelantan pula dilanda banjir | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Wednesday, November 23, 2011

Kelantan pula dilanda banjir

SHARIPAH ABDULLAH, 73 (kiri) membantu jirannya Midah Hamzah, 80, meredah banjir untuk ke pusat pemindahan di Kampung Tasek, Setiu semalam.

Hujan berterusan sejak dua hari lalu
KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Johor, Melaka dan Terengganu, kelmarin, merebak ke Kelantan apabila 21 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang, Pasir Puteh, petang semalam.

Mengikut portal rasmi eBanjir Negeri Kelantan sehingga 7 petang semalam, SK Bukit Awang mula menempatkan mangsa banjir pada jam 5 petang selepas kawasan rendah ditenggelami air akibat hujan berterusan sejak dua hari lalu.

Portal itu juga melaporkan paras air di Sungai Golok berada pada aras berjaga-jaga iaitu di Jenob dengan bacaan 21.87 meter (m), manakala Rantau Panjang pula merekodkan 7.53 m.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Kelantan, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, berkata 729 pusat pemindahan disediakan mampu menampung kapasiti sehingga 150,700 orang bagi menempatkan mangsa banjir.

Di KUALA TERENGGANU: Jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di tiga daerah di Terengganu kini meningkat kepada 373 orang daripada 84 keluarga.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, penduduk yang dipindahkan ialah 175 orang di Besut, Setiu (115) dan Hulu Terengganu 83 orang. Beliau berkata, sehingga jam 6 petang sebanyak lapan pusat pemindahan dibuka iaitu masing-masing tiga di Besut dan Hulu Terengganu, manakala dua di Setiu.

Seramai 83 mangsa di Hulu Terengganu dipindahkan ke Masjid Kampung Sekayu, Balai Raya Kampung Chering dan Balai Raya Kampung Pelandan. Bagaimanapun, setakat ini hanya satu laluan ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Kuala Berang-Sungai Tong selepas dinaiki air sedalam 0.6 meter.

Seorang ibu muda yang masih dalam pantang bersama bayinya, Batrisha Sofea Mohd Saiful Anuar, yang baru berusia 27 hari adalah antara mangsa banjir yang dipindahkan di Kampung Merbau Menyusut kira-kira jam 3 pagi kelmarin, selepas kediaman mereka dinaiki air.

“Saya sudah biasa menghadapi banjir. Bagaimanapun ini pengalaman paling getir kerana saya masih dalam pantang,” kata Yati Berahim, 25, yang ditempatkan sementara di masjid kampung itu.

Di JASIN: Semua 24 mangsa banjir membabitkan lima keluarga di Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai dekat sini, masih belum dibenarkan pulang selepas paras banjir di kediaman mereka tidak menunjukkan tanda surut.

Bagaimanapun, sebahagian besar mangsa di Parit Lampong dan Paya Laboh di Tehel sudah pulang ke rumah masing-masing sejak tengah hari semalam.





Tinjauan Berita Harian mendapati ada di kalangan mangsa banjir di Tehel sudah mula membersihkan kediaman mereka dan ada juga yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel.

Di BATU PAHAT: Seramai 23 mangsa dari Kampung Parit Sagil dan Kampung Cahaya Baru masih ditempatkan pusat pemindahan sejak kelmarin.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Portal Banjir semalam mengeluarkan peringatan kepada penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan banjir.

Penduduk di kawasan berisiko banjir juga dinasihatkan supaya membuat persediaan mencukupi termasuk menyimpan barangan penting dan berharga di tempat yang selamat. (berita harian)

0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...