Bebola kristal masih dijual | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Friday, November 04, 2011

Bebola kristal masih dijual

MOHD. A. ARUWAN (kiri) menunjukkan bungkusan mainan kanak-kanak yang menggunakan bebola kristal yang dirampas di Kuantan semalam.

KUANTAN – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang berjaya menghidu taktik terbaharu sesetengah syarikat yang cuba menghabiskan stok bebola kristal atau hidrogel dengan memasukkannya bersama ke dalam produk makanan ringan kanak-kanak.

Pengarahnya, Mohd. A. Aruwan berkata, bebola kristal itu dimasukkan bersama ke dalam salah satu produk makanan yang disukai kanak-kanak sebagai barang permainan.
“Ia dimasukkan sebagai satu mekanisme jualan dan ia menunjukkan ada syarikat yang tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Menurut beliau, ia merupakan salah satu taktik licik dalam usaha menghabiskan stok bebola kristal yang dilarang penjualannya.

Mohd. A. Aruwan memberitahu, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas kedai yang disyaki menjual produk makanan ringan terbabit untuk siasatan lanjut.

“Kita telah memeriksa tiga pemborong di sekitar Kuantan dan mengambil salah satu stok yang dibuat di Perak yang dipercayai mengandungi bebola kristal itu,” ujarnya.

Beliau menyatakan pihaknya kini sedang melakukan siasatan lanjut ke atas produk tersebut dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Perintah Perlindungan Pengguna (Larangan Terhadap Barang Tidak Selamat) 2011 jika didapati bersalah.

“Syarikat yang bersalah boleh didenda tidak lebih RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kali kedua.

“Manakala bagi individu denda tidak lebih RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Sementara kesalahan kali kedua, individu boleh didenda RM250,000 atau enam tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.(Kosmo)

0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...