MAHLIGAI bahagia Kim (kiri) dan Kris hanya bertahan selama 72 hari.
PEMINAT hiburan satu dunia jadi heboh apabila bintang televisyen yang terkenal dengan program realiti Keeping Up With The Kardashian's, Kim Kardashian telah memfailkan permohonan cerai dengan suaminya, bintang bola keranjang NBA, Kris Humphries ketika perkahwinan mereka baru sahaja berusia 72 hari.
Kim, 30, dan Kris, 26, melangsungkan perkahwinan mega mewah bernilai lebih RM30 juta di kediaman peribadi mereka di Montecito, California pada 20 Ogos lalu.
Pelbagai reaksi, pelik dan terkejut sama ada disampaikan dalam nada simpati atau lucu diluahkan untuk Kim. Sebagai akses paling cepat dan mudah, Twitter menjadi perantaraan kepada pengikutnya yang terdiri daripada peminat bahkan para selebriti terkenal dunia.
Berakhirnya hubungan singkat antara Kim dan Kris juga membuka banyak cerita dalaman pasangan berkenaan. Tidak kurang juga yang mempersendakan perkahwinan itu sebenarnya gimik murahan Kim untuk menjana jutaan dolar dalam bentuk tajaan serta penjualan hak eksklusif majlis perkahwinannya kepada penyiar.
Kim Kardashian
Pasangan: Kris Humphries
Bahagia: 72 hari
Pernah diundi sebagai Selebriti Paling Menjengkelkan di Hollywood oleh majalah Parade, Kim menjelaskan, keputusan bercerai itu dibuat kerana dia percayakan naluri kewanitaannya.
"Saya buat keputusan (bercerai) kerana percaya pada naluri wanita, saya ikut apa kata hati saya," ujar Kim tenang ketika ditemu bual sebuah rancangan bual bicara pagi Australia, Sunrise, beberapa hari lalu.
Kim memfailkan perceraian di sebuah mahkamah Los Angeles. Menjadikan perbezaan yang tidak dapat diselesaikan sebagai sebab perceraian, dokumen tersebut turut menunjukkan pasangan tersebut ada menandatangani satu perjanjian sebelum ini.
Turut dinyatakan dalam dokumen tersebut, harta individu (bukan sepencarian) pasangan merangkumi barangan dan pendapatan peribadi termasuklah barangan kemas milik mereka. Menyentuh bab barangan kemas, tentu sahaja salah satunya adalah cincin pertunangan Kim bertatahkan berlian lebih daripada 20 karat rekaan Lorraine Schwartz yang dibeli oleh Kris Humphries pada harga RM6.58 juta (AS$2 juta).
Sebenarnya, sebelum pengakuan Kim untuk bercerai tersebar ke serata dunia, gosip keretakan hubungan antara Kim dan Kris sudah dapat dihidu oleh media. Kim yang mempunyai rangkaian perniagaan dan rancangan realiti sendiri mula rasa tidak senang duduk apabila suaminya sudah tidak bekerja kerana ada sedikit masalah dengan NBA. Kim ada juga mula bosan dengan Kris yang langsung tidak berbuat apa-apa untuk menyara keluarga.
Masalah mereka berdua berpunca sehari sebelum hari lahir Kim pada 21 Oktober lepas. Buktinya, mereka kelihatan dingin ketika sama-sama menghadiri program televisyen Dancing With The Star untuk menyaksikan aksi adik Kim, Rob Kardashian yang merupakan peserta rancangan tersebut.
Berada dalam emosi yang sukar, bagaimanapun, tidak menghalang Kim dan Kris menghadiri parti. Kim masih dilihat menghadiri sebuah pesta Halloween dengan kostum super seksi manakala Kris juga melibatkan diri dalam satu pesta bertajuk Butterfly at Chateu Gardens yang berlangsung di atas bumbung Hotel Eiffel Tour, Paris, Perancis.
Dalam satu temu ramah, Kim menjadi sedikit berang apabila didakwa berkahwin atas tuntutan program televisyen. Dia turut menyangkal dakwaan itu dan bertegas perkahwinan mereka memang didasari oleh cinta.
"Saya seorang yang percayakan cinta dan fantasi yang mahu saya bina. Semua orang tahu bahawa saya seorang yang sangat obses dengan romantik dan mencintai sesuatu dengan seluruh jiwa. Saya juga ingin memiliki anak dan hidup yang sebenar. Itu yang membuat saya terlalu terburu-buru," ujar wanita cantik itu.
Mengenai jutaan dolar yang diperolehnya daripada pernikahan bersama Kris, Kim menyangkal gosip tersebut sekali gus menyatakan dia berhasrat untuk menderma semua hadiah pernikahannya itu kepada The Dream Foundation.
Bukan Kim dan Kris sahaja yang berdepan hubungan singkat, baik di Hollywood atau persada seni tanah air, tragedi perkahwinan singkat bukan perkara mustahil.
Britney Spears
Pasangan: Jason Alexander
Bahagia: 55 jam (2 hari)
Pernikahan tidak sah bintang pop, Britney Spears bersama kawan zaman kanak-kanaknya, Jason Alexander dikatakan menjadi titik hitam pertama yang menjatuhkan reputasi Britney. Kurang 55 jam setelah menikah di Little White Wedding Chapel di Las Vegas, pernikahan itu dibatalkan atas alasan gangguan fizikal yang dialami oleh Britney.
Carmen Electra
Pasangan: Dennis Rodman
Bahagia: Sembilan hari
Dennis Rodman dan Carmen Electra menikah di sebuah gereja kecil di Las Vegas pada November 1998. Sembilan hari kemudian, Rodman menfailkan pembatalan pernikahan mereka dengan alasan keputusan itu dibuat atas fikiran bawah sedar. Namun kedua-duanya bersatu lagi hingga akhirnya berpisah pada Mac 1999.
Drew Barrymore
Pasangan: Jeremy Thomas
Bahagia: 19 hari
Pada Mac 1994, Drew Barrymore yang ketika itu 19 tahun menikahi Jeremy Thomas, seorang pemilik bar, di Los Angeles. Pernikahan yang berlaku secara tiba-tiba itu mengejutkan ramai teman selebriti yang lain seperti Andie McDowell, Mary Stuart Masterson dan Madeleine Stowe yang tidak sempat untuk membelikan hadiah kepada mempelai. Pasangan ini berpisah 19 hari kemudian.
Mario Lopez
Pasangan: Ali Landry
Bahagia: Dua minggu
Bintang siri komedi Saved By the Bell, Mario Lopez dan Ali Landry menjalin cinta selama enam tahun sebelum menikah di Puerto Vallarta, Mexico pada April 2004. Kurang dua minggu selepas menikah, pasangan ini berpisah atas sebab kecurangan Mario.
Eddie Murphy
Pasangan: Tracey Edmunds
Bahagia: Dua minggu
Berkahwin pada 1 Januari 2008, pasangan selebriti Eddie Murphy dan Tracey Edmunds menyatukan cinta mereka di sebuah pulau yang dikenali sebagai Bora Bora yang terletak di French Polynesia. Namun, belum sempat pengesahan perkahwinan itu yang sepatutnya dilakukan di Amerika Syarikat, mereka bercerai selepas genap dua minggu berkahwin. Alasan Tracey, dia berasa diperbodohkan oleh Eddie yang memakinya di khalayak ramai ketika berada di pulau berkenaan.
Pamela Anderson
Pasangan: Kid Rock
Bahagia: Empat bulan
Pasangan ini melangsungkan majlis pernikahan pada 29 Julai 2006 St. Tropez. Mereka kemudian mengesahkan perkahwinan pada 3 Ogos di sebuah mahkamah di Beverly Hills sebelum satu lagi majlis resepsi penuh romantik diadakan pada 17 Ogos. Tiga bulan selepas berkahwin, Pamela dikatakan mengalami kemurungan kerana keguguran bayi ketika menyertai penggambaran filem Blonde and Blonder. Tiada alasan diberikan setelah masing-masing memutuskan untuk bercerai sekitar November 2006.
Jennifer Lopez
Pasangan: Cris Judd
Bahagia: Sembilan bulan
Jennifer Lopez dan pasangannya, Cris Judd menikah pada Oktober 2001. Mereka mula tertarik dan menjalin cinta setelah bertemu dalam penggambaran video klip Jennifer atau J-Lo, Love Don't Cost a Thing. Ketika itu, Judd bertindak sebagai pengarah video tersebut. Pernikahan J-Lo dan Judd berakhir pada Julai 2002 setelah J-Lo dikatakan beralih cinta kepada Ben Affleck.
Nicolas Cage
Pasangan: Lisa Marie Presley
Bahagia: Lima bulan
Aktor Nicolas Cage pertama kali bertemu puteri penyanyi legenda Elvis Presley itu pada tahun 2000. Hubungan asmara kedua-duanya ada pasang-surut sehinggalah berakhir dengan perkahwinan pada 10 Ogos 2002. Namun pada 20 November 2002, Cage memfailkan tuntutan perceraian. Proses perceraian pasangan ini berlangsung lebih lama daripada pernikahan mereka.
Renee Zellweger
Pasangan: Kenny Chesney
Bahagia: Empat bulan
Pasangan ini menikah pada tanggal 9 Mei 2005 setelah saling mengenali selama lima bulan. Pasangan ini bagaimanapun hanya mampu bertahan selama lima bulan ekoran hilang kepercayaan. Tuntutan perceraian dibuat oleh Renee setelah menyedari penipuan yang dilakukan oleh penyanyi berkenaan.
Charlie Sheen
Pasangan: Donna Peele
Bahagia: Setahun dua bulan
Aktor Charlie Sheen hanya mempertahankan hubungan bersama Donna Peele selama lebih setahun. Sebelum perceraian mereka diumumkan, banyak cerita hitam menutupi kredibiliti Charlie. Selain terlibat dengan dadah, sikap kaki perempuannya tidak dapat dikikis. Dia dikatakan mempunyai skandal dengan bintang porno Heidi Fleiss bahkan aktor filem Platoon itu pernah mengakui telah meniduri 5,000 wanita.(KOSMO)
0 rungutan:
Post a Comment