35 tahun setia menjaga kubur | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Wednesday, November 09, 2011

35 tahun setia menjaga kubur


SETIAP hari selama 35 tahun, Catherine Lessler melakukan rutin harian yang sama bermula seawal pukul 4 pagi. Dia akan mengesat habuk dan menyapu sampah di seluruh ruang rumah ibadat yang juga menjadi sebahagian daripada kediamannya.

Ia disusuli pula dengan membersihkan pekarangan kawasan tanah perkuburan Jepun yang terbesar di Malaysia. Sebaik selesai, dia akan menunggu dengan penuh setia kedatangan pelawat yang mungkin akan hadir sehingga pukul 5 petang.
Pada petang awal bulan lalu, rumput-rumput yang baru dipotong masih lagi basah kesan daripada hujan lebat yang sukar diramal menuntut Catherine supaya segera membersihkannya.

"Upah memotong rumput sangat mahal, kawasan perkuburan sahaja berharga RM200 dan perlu dilakukan dua kali sebulan," katanya ketika ditemui di kawasan perkuburan Jepun, Off Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.

Dahulu, dia bersama-sama dengan mendiang suaminya, Stanley Bernard Lessler masih lagi mampu memotong rumput dan membersihkan sendiri kawasan perkuburan tersebut.

Namun, apabila tubuh dimamah usia, wanita berusia lingkungan 70-an itu terpaksa mengupah orang luar untuk memotong rumput tetapi, kerja-kerja membersihkannya tetap dia lakukan sendiri.

Tatkala kaki wanita yang mesra dipanggil Madam Catherine itu melangkah menyusuri kawasan perkuburan Jepun seluas 0.8 hektar untuk membuang bunga-bunga layu dan rumput-rumput kering, pasti ada cerita yang terpacul daripada mulutnya mengenai nisan-nisan yang tegak berdiri di situ.

T. Mori
CATHERINE pernah terfikir untuk berhenti daripada tugas menjaga kubur Jepun, tetapi mengenangkan jasa T. Mori, dia membatalkan niat itu.

Suasana yang masih berbekas dihatinya adalah upacara menanam beramai-ramai abu mayat mangsa kapal terbang JA8051 yang terhempas pada tahun 1977.

"Keadaan pada waktu itu penuh dengan suara tangisan oleh sanak saudara si mati. Terdapat sebuah keluarga, anak-anaknya masih kecil lagi menangis dan meratap pemergian ayah mereka," imbas Catherine.

Selepas melepasi beberapa nisan, langkah Catherine terhenti di hadapan sebuah nisan tertulis nama Mori Takamizu (T. Mori), lantas dia bersihkan kuburan tersebut.

Mori ialah individu yang bertanggungjawab memberikan pekerjaan penjaga kubur tersebut kepada Catherine sekeluarga ketika mereka mula-mula sampai di Kuala Lumpur.

Pada saat-saat akhir hidup lelaki itu, Catherine merupakan individu yang banyak menjaga T. Mori sehingga lelaki tersebut meninggal dunia pada tahun 1986 pada usia 79 tahun.

"Dia (T. Mori) pernah menjadi wakil kepada penduduk Jepun di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam memelihara kawasan kubur ini serta mengeratkan hubungan antara Jepun dan Malaysia," terangnya.

Ujar Catherine, T. Mori juga pernah bertugas sebagai pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (Lelaki) Methodist, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, manakala isterinya merupakan salah seorang daripada adik-beradik ibu Allahyarham Tun Endon Mahmood.

Beberapa meter dari batu nisan T. Mori, sambil menunjukkan ke arah sebuah kubur, Catherine berkata, hampir setiap tahun pasti akan ada keluarga yang melawat lokasi tersebut. Malah menariknya, keluarga tersebut berketurunan India.

Katanya, kubur tersebut mempunyai kaitan saudara dengan seorang pakar psikiatri, terkenal Malaysia, Tan Sri M. Mahadevan. Bagaimanapun, dia tidak dapat memastikan perkara tersebut benar atau tidak.

Semakin masa berlalu, daripada pemerhatian penjaga kubur Jepun itu, bilangan pengunjung terutama dari Jepun yang datang melawat tanah perkuburan saudara-mara di situ semakin berkurangan.

"Mungkin mereka sudah tua atau sudah meninggal dunia malah, ada di kalangan anak-anak mereka mengambil abu nenek-moyang mereka untuk ditanam di sana (Jepun)," katanya yang dibayar gaji oleh The Japan Club of Kuala Lumpur (JCKL).

Lokasi tersembunyi

TANAH perkuburan Jepun Kuala Lumpur merupakan tanah perkuburan Jepun terbesar di negara ini.

Mendiami kawasan perkuburan tersebut hampir setiap saat dalam tempoh masa yang panjang tidak sedikit pun menimbulkan perasaan takut kepada Catherine dan keluarganya mengenai kewujudan hantu.

"Cuma, kami sekeluarga risau dengan penagih dadah yang selalu curi-curi masuk ke kawasan perkuburan untuk 'berparti' pada waktu malam. Mungkin tempat ini terlindung dan sesuai menjadi tempat mereka," ujar Catherine sambil menunjukkan ke arah sebuah altar berbumbung di kawasan perkuburan itu.

Kedudukan tanah perkuburan Jepun yang terletak di cabang Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur agak tersorok daripada pandangan umum dan ketiadaan nama jalan sering menyebabkan orang ramai keliru.

Menurut anak Catherine, Vincent Charles Lessler, 35, mereka kerap menerima aduan daripada pihak berkuasa tempatan yang mendakwa mereka tidak menjaga kebersihan tanah perkuburan dan membiarkan anjing berkeliaran.

"Sebenarnya, tanah perkuburan yang tidak berjaga dan anjing berkeliaran itu bukanlah tanah perkuburan Jepun sebaliknya sebuah lagi tanah perkuburan lain yang terletak di depan kawasan kami," keluhnya mengenangkan aduan orang ramai tanpa usul periksa.

Membesar di perkarangan kawasan perkuburan Jepun itu, Vincent mengakui mereka sekeluarga jarang dapat keluar makan angin bersama-sama seperti orang lain.

Jelasnya, setiap kali keluar berjalan, pasti salah seorang tiada kerana tuntutan kerja yang mewajibkan terdapat orang yang menjaga kawasan perkuburan itu.

"Mungkin sekali dalam setahun, kami dapat kelepasan untuk keluar bersama-sama seperti ingin meraikan hari lahir tetapi itu masih memerlukan pengganti," katanya.

Paling ironik, menurut cerita yang disampaikan oleh saudara-mara Vincent kepadanya, kedua-dua datuknya terbunuh oleh askar Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Rekod rasmi

KAWASAN tanah perkuburan masyarakat Jepun lama yang sudah diberi wajah baharu di Jalan Dewan Bahasa.

Penasihat JCKL, T. Mandai, 77, berkata, kedatangan imigran Jepun ke Tanah Melayu sangat berbeza dengan kemasukan rakyat Malaysia berketurunan India atau Cina.

Terangnya, tiada rekod rasmi yang menunjukkan jumlah kemasukan mereka, tempat asal dan identiti sama ada pada pihak Jepun atau di pihak Malaysia.

Malah, bilangan abu mayat yang telah ditanam di tanah perkuburan Jepun Kuala Lumpur juga sukar ditentukan tetapi yang pasti ia lebih dari 7,000 orang. Ini kerana selain mayat yang ditanam sejak tahun 1897, pada tahun 1945 ketika Perang Dunia Kedua berakhir, seramai 7,000 orang askar Jepun turut dikebumikan di situ.

Bagaimanapun ujar Mandai, daripada ribuan jumlah mayat yang disemadi di situ, JCKL hanya mempunyai rekod penuh 500 hingga 600 orang seperti nama, asal-usul dan pekerjaan mereka di Malaysia.

Antara rekod awal kewujudan komuniti Jepun di Malaysia adalah pada akhir tahun 1800 apabila tersebar berita terdapat orang Jepun diserang jangkitan demam campak.

Selain itu, lima tahun lalu di Raub, Pahang, pemaju perumahan di situ melaporkan kepada Kedutaan Jepun mengenai penemuan sebuah batu nisan yang bertarikh lebih kurang 1800. Individu tersebut meninggal dunia pada umur 100 tahun.

SURAT pewartaan yang membenarkan kawasan di Jalan Dewan Bahasa itu dijadikan tanah perkuburan komuniti Jepun.

"Kawasan perkuburan Jepun di Kuala Lumpur pula hanya diwartakan kepada komuniti Jepun pada tahun 1897 oleh kerajaan British," kata Mandai ketika ditemui di Taman Seputeh, Kuala Lumpur.

Seorang penterjemah di Singapura bernama Kusano, dikatakan individu bertanggungjawab meminta sebidang tanah untuk dijadikan kawasan perkuburan pada tahun 1896.

Kawasan perkuburan tersebut dibuka secara rasmi pada bulan Mac 1901, manakala rumah ibadat yang berada di kawasan sama telah dinaik taraf sebanyak tiga kali.

Tambahnya, antara kubur yang mempunyai rekod adalah sebanyak 200 mayat wanita pernah ditanam di kawasan tersebut dan mereka dipercayai bekerja di sektor pekerjaan paling tua dunia iaitu sebagai pelacur.

Wanita terakhir daripada golongan berkenaan dikebumikan di situ ialah seorang perempuan berusia 93 tahun yang meninggal dunia pada tahun 1988.

Komuniti Jepun yang berhijrah ke Malaya pada waktu itu tidak ramai dan kebanyakan mereka tergolong dalam golongan profesional pelabur ladang getah dan aktiviti perlombongan emas dan bijih timah.

"Mereka bukan kuli tetapi jurutera dan ahli perniagaan yang membuka perniagaan di bandar-bandar," ujarnya menerangkan sebab kemasukan komuniti Jepun terlalu sedikit.(KOSMO)

0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...