Zainal (kanan) dan Desar (kiri) dibawa oleh polis setelah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam atas kesalahan mengedar dadah.
ALOR SETAR - Seorang peniaga dan rakannya yang sudah mempunyai 10 cucu masing-masing dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh pertama, Zainal Nanyan, 48, dan tertuduh kedua, Desar Din, 60, selepas berpuas hati bahawa pihak pembela gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pendakwaan.
Kedua-dua pesalah kelihatan tenang sebaik menerima keputusan itu sebelum berpelukan dengan ahli keluarga masing-masing.
Mereka didakwa secara bersama mengedar 4,497.3 gram kanabis di simpang jalan Sungai Badak, dekat Gurun pada pukul 5.45 petang 21 Mei 2009.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Mohd. Zaki dalam penghakimannya menyebut, biarpun kedua-dua tertuduh memberi keterangan secara bersumpah, ia adalah sesuatu yang direka-reka dan tidak boleh diterima oleh mahkamah.
"Pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dan selepas mempertimbangkan keseluruhannya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh," tegasnya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd. Yatim manakala Zainal diwakili peguam Datuk Sallehudin Saidin dan Desar diwakili peguam, Mohd. Amir Abdul Rani.
Sallehudin dalam rayuannya memberitahu, anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta terpaksa menanggung isteri serta tiga anak.
Mohd. Amir pula memohon pertimbangan mahkamah berikutan anak guamnya seorang warganegara yang baik sebagai anggota tentera selama 22 tahun dan tidak mempunyai rekod lampau.
"Tertuduh mempunyai seorang isteri, tiga anak serta 10 cucu dan merupakan warganegara yang baik selain pernah berjasa menjaga keselamatan negara," katanya.(KOSMO)
0 rungutan:
Post a Comment