TANAMAN penduduk seperti getah dan pisang musnah akibat diceroboh gajah liar di Kampung Keladan, Rompin kelmarin.
ROMPIN – Penduduk Orang Asli Kampung Keladan berhampiran Kampung Aur di sini kerugian besar apabila dua ekor gajah liar memusnahkan tanaman mereka kelmarin. Gajah yang dipercayai datang dari Hutan Simpan Bukit Ibam itu telah memusnahkan tanaman sara hidup seperti pisang, anak pokok kelapa sawit, getah, buluh, kelapa dan pokok pinang.
Kejadian itu menyebabkan penduduk mula bimbang dengan keselamatan nyawa mereka kerana serangan itu berlaku pada sebelah malam. Seorang penduduk, Awang Mansur, 49, berkata, dia melihat kelibat dua ekor gajah itu pada waktu malam apabila haiwan itu masuk ke kebunnya dan memusnahkan pokok getah, pinang dan pisang. Katanya, dua ekor gajah dipercayai ibu dan anak itu mengeluarkan suara yang kuat hingga mengejutkannya daripada tidur lalu mengundang rasa cemas mereka sekeluarga yang berada di rumah yang terletak 10 meter sahaja dari kebun.
“Saya sempat membakar mercun untuk menghalau gajah tersebut tetapi tidak berkesan sebaliknya haiwan itu terus mengganas dengan memusnahkan tanaman selain memakan umbut kelapa sawit dan getah,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin. Lachai Chukin, 76, pula berkata, dia tidak mengetahui punca anjing peliharaannya menyalak sejak dua malam berturut-turut sehinggalah diberitahu jirannya tentang kejadian serangan gajah itu.
“Saya ingat rumah saya dimasuki pencuri tetapi rupa-rupanya kebun saya diceroboh gajah menyebabkan pagar yang menempatkan tanaman pisang rosak,” katanya. Katanya, dia terkejut apabila melihat kesan tapak kaki dan najis gajah berselerak di dalam kebunnya pagi kelmarin hingga mengundang rasa takut kepada keluarganya setiap kali menjelang malam. “Saya mungkin akan menjadi mangsa keganasan haiwan ini jika ia tidak dipindahkan semula ke habitat asal,” katanya.
Jala Heng, 64, berkata, kampung itu pernah dimasuki kumpulan gajah pada awal tahun lalu namun tanaman mereka tidak musnah teruk seperti yang berlaku kelmarin. Katanya, penduduk percaya kumpulan gajah itu masih berada di kawasan belakang kampung berkenaan kerana sering terdengar suara gajah dan ia dipercayai keluar pada waktu malam untuk mencari makanan. “Siang mungkin gajah berkenaan akan ke hutan tetapi bila malam, ia keluar merayau-rayau ke kebun-kebun berhampiran rumah penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Kampung Aur, Nura Hamidi Mat berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) digesa supaya mengambil tindakan segera dengan memindahkan gajah-gajah liar itu ke habitat yang lebih sesuai kerana nyawa penduduk di situ terancam. Nura Hamidi berkata, penerokaan hutan di kawasan hutan simpan Bukit Ibam dipercayai menjadi punca utama gajah itu keluar dari habitat asalnnya.(KOSMO)
0 rungutan:
Post a Comment