1,000 anggota JPAM dikerah | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Wednesday, November 09, 2011

1,000 anggota JPAM dikerah

ZAINUDDIN (dua dari kanan) meninjau persiapan menghadapi banjir di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu.

Sukarelawan ditambah hadapi kemungkinan banjir besar di Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan akan mengerahkan kira-kira 1,000 anggotanya yang aktif di seluruh negeri sebagai persiapan akhir menghadapi kemungkinan banjir besar.

Pengarah JPAM Kelantan, Zainuddin Hussin, berkata langkah terbabit diambil kerana bimbang banjir besar yang mungkin melanda Kelantan pada tahun ini seperti diramalkan.

"Mengambil iktibar daripada banjir besar di Thailand, pada mulanya kita hanya mengarahkan 500 anggota sukarelawan, namun terpaksa menambah jumlah berkenaan dua kali ganda selepas diramalkan banjir besar bakal berlaku tahun ini.
"Kekuatan anggota di setiap daerah pula bergantung kepada jumlah keseluruhan sukarelawan yang berdaftar di sesuatu tempat terbabit.

"Mereka adalah antara 27,483 anggota sukarelawan yang berdaftar dengan JPAM Kelantan," katanya ketika ditemui di Pusat Pertahanan Awam Kelantan, dekat Bandar Baru Tunjong di sini, kelmarin.

Zainuddin berkata, selain mengarahkan anggota sukarelawannya, pihaknya juga akan menggunakan 22 bot, termasuk satu jet ski bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.
"Kemudahan logistik lain, termasuk 26 kenderaan pelbagai guna seperti pacuan empat roda, van penumpang dan lori, termasuk dua ambulans bagi memudahkan proses pemindahan.

"Selain kenderaan darat dan air, kita turut menyediakan 354 peralatan lain seperti jaket keselamatan, lampu suluh dan alat menyelam (set skuba) jika berlaku kejadian tidak diingini seperti lemas," katanya.

JPAM turut mengedarkan risalah banjir kepada penduduk yang tinggal di tempat berisiko banjir, terutama di kawasan rendah agar mereka dapat mempersiapkan diri lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Risalah terbabit menyentuh mengenai persiapan sebelum, semasa dan selepas banjir yang perlu dilakukan penduduk agar mereka sentiasa bersedia sebelum bantuan sampai.

"Kita turut menempatkan anggota di kawasan pedalaman dan di pusat pemindahan banjir bagi membantu penduduk apabila berlaku banjir di tempat terbabit," katanya.

Penduduk yang memerlukan bantuan boleh hubungi talian 999 atau pejabat JPAM daerah Tumpat (09-7254214), Kuala Krai (09-9609573, 09-9609573), Pasir Puteh (09-7855230, 09-7855233), Gua Musang (09-9124360,), Machang (09-9750260, 09-9750262), Rantau Panjang (09-7952008), Jeli (019-3081087, 014-5085122), Tanah Merah (012-9374726), Pasir Mas (017-9348317) dan Kota Bharu (09-7413041, 09-7413040).

INFO
Tumpat (09-7254214)
Kuala Krai (09-9609573, 09-9609573)
Pasir Puteh (09-7855230, 09-7855233)
Gua Musang (09-9124360)
Machang (09-9750260, 09-9750262)
Rantau Panjang (09-7952008)
Jeli (019-3081087, 014-5085122)
Tanah Merah (012-9374726)
Pasir Mas (017-9348317) dan
Kota Bharu (09-7413041, 09-7413040).(Berita Harian)

0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...