Fasha bukan orang ketiga | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Wednesday, November 02, 2011

Fasha bukan orang ketiga

Johan tidak menyalahkan Izreen berikutan kontroversi yang melanda diri mereka berdua saat ini.

PERTEMUAN yang diaturkan dalam satu sesi fotografi baru-baru ini secara kebetulan telah mempertemukan dua bintang baru Izreen Azminda Aznam, 26, dan Johan Ariff Asaari, 25 yang mana mereka kini dilanda kontroversi cinta membabitkan aktres Fasha Sandha.

Hubungan mesra dan foto-foto berdua Johan dan gandingannya dalam drama popular Cinta Elysa, aktres terkenal Fasha Sandha didakwa menjadi punca hubungan cinta Johan dan Izreen retak.


Enggan sebenarnya untuk digandingkan bersama dalam foto pada mulanya, namun atas dasar profesional, kedua-dua mereka akhirnya bersetuju untuk memenuhi permintaan Kosmo! meskipun air muka kedua-duanya jelas membuktikan hubungan dingin antara mereka.

Tidak banyak berbicara ketika sesi fotografi berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini, baik Izreen mahupun Johan tidak mahu konflik yang berlaku antara mereka dipanjangkan kerana mereka sedar industri hiburan tempatan tidak sebesar mana.

Izreen ternyata tetap dengan pendiriannya yang mendakwa dia dan Johan merupakan pasangan kekasih sejak bulan Mei tahun ini.

Sebaliknya pula dengan Johan yang sehingga kini, tidak mengaku pernah bercinta dengan Izreen tetapi hanya mengaku mereka sekadar teman rapat. Ikuti temu bual eksklusif mereka bersama Kosmo!.

Tidak mahu besarkan isu – Johan

KOSMO!: Adakah ini kali pertama Izreen dan Johan berjumpa selepas kenyataan balas antara kalian?

Johan: Sebelum ini kami ada juga berjumpa untuk sesi fotografi sebuah majalah. Saya tidak ada masalah dengannya meskipun selepas dia memberikan kenyataan pada pihak media.

Jika tidak ada masalah, kenapa hubungan yang dulunya rapat kini menjadi regang?

Johan: Saya akui saya memang pernah berkawan rapat dengannya kerana kami terlibat dalam drama Juvana, itu sahaja. Semua orang ada sejarah masing-masing tidak terkecuali saya. Bagi saya tidak perlu bercerita panjang lebar mengenai hal ini kerana sekarang kita harus memandang ke hadapan bukannya ke belakang.

Johan salahkan Izreen atas kelantangannya bersuara mengenai hal kalian?

Johan: Saya tidak pernah salahkan sesiapa dalam hal ini. Lebih baik saya berdiam diri, jika kami sama-sama bersuara dan berbalas antara satu sama lain, pada akhirnya kami berdua juga akan kelihatan bodoh dan tiada siapa juga akan menang.

Mungkinkah gosip cinta antara Johan dan Fasha menjadi punca hubungan kalian regang?

Johan: Saya anggap Fasha hanya sebagai pelakon senior dan menghormatinya. Dia juga banyak mengajar saya untuk menjadi seorang pelakon yang baik kerana dia mempunyai lebih pengalaman daripada saya, tidak lebih daripada itu.

Apa pandangan Johan terhadap kontroversi cinta ini kerana tidak secara langsung ia mempopularkan Johan.

Johan: Biarlah ia bertitik noktah di sini. Saya sebagai manusia biasa, hanya reda kepada Allah dan saya tidak pernah mulakan serta tidak pernah ciptakan apa-apa pun. Tiba-tiba saya boleh ada pengalaman dan di dalam tahap begini. Namun, saya anggap ini merupakan pengalaman kehidupan sebagai seorang pelakon dan saya reda. Apa pun saya akan cuba buat yang terbaik sebagai seorang pelakon.

Adakah disebabkan kontroversi ini, Johan dan Izreen sudah tidak bertegur sapa?

Johan: Saya akan tetap mendoakan setiap rakan-rakan saya mencapai yang terbaik di dalam kerjaya masing-masing termasuklah Izreen sendiri. Saya tidak pernah anggap Izreen sebagai musuh saya dan saya anggap ini adalah ujian daripada Allah. Mungkin kali ini yang terkena ujian tersebut adalah saya dan saya tidak perlu salahkan dia (Izreen) kerana dia juga manusia. Saya juga ada salah kerana saya juga manusia, saya telah memaafkannya dan saya tidak pernah anggap dia musuh saya.

Adakah sejak kontroversi ini timbul Johan dan Izreen masih berhubung antara satu sama lain?

Johan: Tidak pernah.

Andai kalian disatukan dalam drama, adakah Johan menerimanya?

Johan: Saya terima, Insya-Allah kerana bagi saya seorang pelakon perlu bersikap profesional dan jangan disebabkan sejarah lama mahupun perkara-perkara sebegini terus tidak mahu berlakon atau sebagainya. Mungkin dengan bekerjasama, kami akan mendapat persefahaman baharu.

Jangan tabur janji palsu – Izreen

KOSMO!: Adakah kalian memang benar-benar bercinta?

Izreen: Ya, memang kami bercinta sebenarnya, saya pun telah beberapa kali beri kenyataan jelas pada pihak media. Kami berkenalan pada bulan Mac kerana terlibat dalam penggambaran drama bersiri Juvana dan mula bercinta pada Mei 2011.

Bagaimanapun, Johan tidak pernah mengaku memiliki hubungan cinta dengan Izreen. Siapa yang betul sebenarnya?

Izreen: Saya rasa saya tidak perlu ulas lagi, apa yang saya tahu, saya ada bukti, malah rakan-rakan saya dan dia semuanya tahu mengenai hubungan kami. Dia tidak mahu mengaku, mungkin sekarang namanya sedang naik dan menganggap mempunyai komitmen satu halangan buatnya. Saya tidak paksa. Biarlah apa yang terjadi antara kami, hanya kami berdua sahaja yang tahu.

Sejauh mana hubungan kalian?

Izreen: Macam pasangan bercinta yang lain, dia ada membawa saya berjumpa dengan keluarganya dan dia pernah cakap sebelum ini dia tidak pernah bawa mana-mana wanita bertemu ibu bapanya. Sebagai seorang wanita, ketika itu saya rasa, dia benar-benar serius dengan saya. Saya pun ada bawa dia balik bertemu dengan keluarga saya di Jitra, Kedah.

Sejak bila hubungan kalian retak?

Izreen: Sejak dia berlakon drama Cinta Elysa, saya pun tidak tahu apa masalahnya. Awal-awal penggambaran semua seperti biasa, malah, saya sempat berbuka puasa dengannya di set penggambaran sebelum ini. Tetapi pada pertengahan penggambaran, semakin sukar untuk saya hubungi dia. Selesai sahaja penggambaran drama itu, baru dia hubungi saya itu pun sekali sahaja.

Adakah Izreen masih sayangkan Johan dan mungkinkah cinta akan bertaut kembali?

Izreen: Sekarang ini saya hanya anggap dia sebagai kawan sahaja, harapan antara kami, memang tidak ada langsung.

Tidakkah keberanian Izreen mengeluarkan kenyataan memakan diri sendiri?

Izreen: Saya akui mula-mula saya keluarkan kenyataan, saya terlalu ikut emosi tanpa berfikir baik dan buruknya. Selepas itu, ramai yang hentam saya dan kata saya mencari publisiti murahan. Sejak itu ramai yang pandang serong terhadap saya, kenyataan saya hari ini adalah untuk membersihkan nama saya sahaja.

Bersedia andai mendapat tawaran berlakon bersama?

Izreen: Sebagai pelakon saya profesional, saya okey sahaja kalau diminta berlakon bersamanya. Saya sudah tutup buku apa yang terjadi antara kami.

Sepanjang lima tahun terlibat dalam industri seni, adakah ini ujian terbesar kamu?

Izreen: Selama ini saya tidak pernah terlibat dalam sebarang konflik seperti ini, ini yang pertama kali dan pengajaran buat saya supaya tidak mudah percaya dengan janji manis lelaki. Saya anggap kami tidak ada jodoh.

Kata-kata terakhir Izreen buat Johan

Izreen: Andai dia bertemu dengan wanita yang benar-benar dia suka, kalau boleh kahwin sahaja terus, jangan beri harapan palsu pada wanita. Ini satu pengajaran juga untuk dia. Sebagai sahabat, saya sentiasa menyokong dia kerana bagi saya dia seorang pelakon yang berbakat besar.

Sumber Kosmo

0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...