Harimau Muda tempah slot final | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Sunday, November 20, 2011

Harimau Muda tempah slot final

BEBERAPA pemain negara meraikan kejayaan Ahmad Fakri meledakkan gol kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Myanmar pada aksi separuh akhir di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.

JAKARTA - Harimau Muda melangkah bergaya ke final dalam acara bola sepak pada Sukan SEA 2011 selepas membenam Myanmar 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Gelora Bung Karno semalam.

Ahmad Fakri Saarani muncul sebagai watak penting di sebalik kejayaan Harimau Muda itu apabila meledak gol tunggal perlawanan ketika perlawanan hanya berbaki lima minit.

Bagaimanapun, di sebalik keghairahan kem Harimau Muda meraikan kejayaan mara ke final, episod malang berterusan menimpa jurulatih, Ong Kim Swee.
Sudahlah terpaksa berada di bangku duduk penonton kerana menjalani penggantungan satu perlawanan, malah Kim Swee turut tidak dibenarkan berkongsi kejayaan bersama anak-anak buahnya di tengah padang sejurus selepas tamat perlawanan.

Situasi itu jelas sekali mengundang rasa kecewa Kim Swee yang menganggap seperti 'ada yang tidak kena' terhadap hukuman yang dikenakan ke atas dirinya.

"Saya percaya ada sebab tertentu sehingga saya dikenakan tindakan sedemikian. Pertamanya, saya tidak boleh menggunakan sebarang peralatan (komunikasi) seperti walkie talkie dan telefon bimbit.

"Selepas tamat perlawanan, saya juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan padang. Saya sendiri tidak tahu hukuman apa yang dijatuhkan kepada saya sehingga saya tidak dibenarkan berjumpa dengan para pemain," kata Kim Swee pada sidang media sejurus tamat perlawanan semalam.

Disebabkan tidak dapat berkomunikasi kepada para pemainnya ketika perlawanan berlangsung, Kim Swee terpaksa menggunakan 'orang tengah' iaitu tukang urut Harimau Muda, Zaidi Abdul Latip untuk memberi setiap arahan kepada pembantunya, Hassan Sazali.

Sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, Zaidi dilihat mundar mandir dari tempat duduk Kim Swee sebelum beliau memberikan nota kecil kepada Hassan berkenaan arahan dan taktikal yang ditulis pengendali Harimau Muda itu.

Mengulas aksi anak-anak buahnya, Kim Swee mengakui, barisan Harimau Muda gagal memberikan aksi yang diharapkan khususnya pada babak pertama.

"Pada babak pertama, para pemain tidak bermain dengan begitu baik. Mungkin mereka keletihan selepas aksi menentang Indonesia sebelum ini (Khamis lalu).

"Bagaimanapun, pada babak kedua, mereka mula menampilkan karakter yang sebenar sehingga berjaya memperoleh gol pada lewat perlawanan," jelas Kim Swee.




Menyentuh kelibat Fakri yang sebelum ini gagal menemui sentuhan gol, Kim Swee menjawab: "Saya tahu kemampuan para pemain saya. Sebelum ini, saya sudah katakan, Fakri mampu menjaringkan gol.

"Hari ini (semalam) dia sudah membuktikan kepada saya yang dia mampu menjaringkan gol," tambahnya.

Sementara itu, jurulatih Myanmar, Stefan Hasson tetap berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya, sekali gus akur dengan kekalahan kepada skuad Harimau Muda.

"Kedua-dua pasukan memberikan aksi yang baik dan kami menerima padah apabila leka pada penghujung perlawanan.

"Punca kekalahan kami juga disebabkan para pemain gagal menyudahkan beberapa peluang terbaik dan gagal mengambil kesempatan atas faktor keletihan pemain Malaysia," jelas Stefan. (kosmo)

0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...