Bola Sepak Malaysia Makin hebat | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Friday, December 23, 2011

Bola Sepak Malaysia Makin hebat


SKUAD bola sepak negara terus menikmati peningkatan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ia seolah-olah membuktikan betapa seriusnya Malaysia untuk berada dalam kalangan 70 pasukan terbaik dunia.

Jika momentum cemerlang berterusan, tidak mustahil impian tersebut boleh dicapai dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Jika berjaya berada dalam kelompok 70 terbaik, masa depan pemain Malaysia untuk bergelar pemain profesional di bumi Eropah sangat cerah.





Malaysia perlu berada dalam kumpulan 70 pasukan terbaik memandangkan peraturan liga Eropah khususnya Liga Perdana England hanya akan membenarkan pemain daripada kalangan negara yang berada dalam kelompok tersebut beraksi dalam liga mereka.

Ia tidak mustahil dicapai jika kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA terus berubah.

Dalam senarai terbaharu, skuad bola sepak negara mengakhiri musim 2011 di kedudukan ke-148, naik tujuh anak tangga berbanding bulan lepas.

Peningkatan ranking pasukan negara itu adalah hasil daripada beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa yang diatur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepanjang tahun ini.

Peningkatan itu turut dibantu dengan kejayaan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, November lalu selain pencapaian cemerlang pada aksi kelayakan Olimpik 2012.

Berdasarkan ranking terbaharu FIFA yang dikeluarkan semalam, Malaysia memungut tambahan tujuh mata selepas mencatat beberapa kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang mereka harungi sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, kedudukan terbaik skuad negara tahun ini adalah pada bulan Mac lepas iaitu di tangga ke-138, yang pada hakikatnya masih jauh berbanding kedudukan terbaik Malaysia di tangga ke-75 pada 1993.

Menerusi kedudukan terbaharu itu, pasukan negara kini setanding dengan negara-negara lain seperti Singapura (145), Turkmenistan (146), Lesotho (147), Samoa (149) dan Equatorial Guinea (150).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia berada di tempat kelima di belakang Vietnam (99), Thailand (122), Indonesia (142) dan Singapura (145).

Pada peringkat Asia, kedudukan Malaysia turut naik tiga anak tangga ke kedudukan ke-24 daripada 46 negara, berbanding tempat ke-27 bulan lepas.

Sementara itu, kedudukan teratas ranking dunia masih dipegang juara Piala Dunia 2010, Sepanyol, diikuti Belanda dan Jerman daripada keseluruhan 203 buah negara. (Kosmo)

0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...