Safiq sudah sedia pikat Cardiff City | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Monday, September 05, 2011

Safiq sudah sedia pikat Cardiff City

SAFIQ mahu mengembangkan kariernya dengan berkelana ke luar negara.

PEMAIN tengah Selangor, Safiq Rahim benar-benar berhajat menyarung jersi Cardiff City.

Meskipun hanya menjalani ujian percubaan selama dua minggu bersama Cardiff City pada penghujung bulan depan, Safiq berazam menampilkan aksi terbaik bagi memikat hati pihak pengurusan kelab Liga Divisyen Dua England itu.

"Ini adalah masanya untuk saya pamerkan aksi cemerlang dan yang pasti, saya tidak akan menolak (peluang) jika mendapat tawaran mewakili Cardiff City.

"Saya menganggap perkara ini (berhijrah) sebagai cabaran baharu buat diri saya sendiri demi melihat karier selaku pemain bola sepak terus meningkat," kata Safiq semalam.

Safiq berkata, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran dan dugaan apabila beraksi di England kelak.

"Memang saya dah bersedia. Saya dah fikirkan, apabila beraksi di England, mental perlu kuat dan saya sendiri akan berusaha keras untuk meningkatkan kualiti permainan memandangkan persaingan yang cukup hebat di sana.

"Sasaran utama saya adalah perlu melepasi terlebih dahulu ujian percubaan tersebut dan sekiranya berjalan dengan lancar, saya boleh beraksi (bersama Cardiff City) pada Januari depan," jelasnya.

Dalam masa yang sama, kapten skuad kebangsaan ini juga tidak menolak kemungkinan untuk beraksi dalam Liga Indonesia atau Liga Singapura jika mendapat tawaran daripada mana-mana kelab.

Bagaimanapun, Safiq mahu melupakan seketika impiannya itu demi membantu Selangor menjulang Piala Malaysia musim ini.

"Buat sementara ini, saya mahu fokus terlebih dahulu bersama Selangor dalam kempen Piala Malaysia.

"Saya mahu membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-33.

"Pihak Cardiff City juga tidak mahu ganggu tugasan saya bersama Selangor dan mereka mahu saya beri tumpuan penuh terhadap saingan itu terlebih dahulu," jelasnya.





Kosmo!

0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...