MagiC MenCari KeajaibaN: sukan sea 2011

klik sini

Ruangan Churp

Showing posts with label sukan sea 2011. Show all posts
Showing posts with label sukan sea 2011. Show all posts

Sunday, November 20, 2011

Harimau Muda tempah slot final

BEBERAPA pemain negara meraikan kejayaan Ahmad Fakri meledakkan gol kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Myanmar pada aksi separuh akhir di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.

JAKARTA - Harimau Muda melangkah bergaya ke final dalam acara bola sepak pada Sukan SEA 2011 selepas membenam Myanmar 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Gelora Bung Karno semalam.

Ahmad Fakri Saarani muncul sebagai watak penting di sebalik kejayaan Harimau Muda itu apabila meledak gol tunggal perlawanan ketika perlawanan hanya berbaki lima minit.

Bagaimanapun, di sebalik keghairahan kem Harimau Muda meraikan kejayaan mara ke final, episod malang berterusan menimpa jurulatih, Ong Kim Swee.
Sudahlah terpaksa berada di bangku duduk penonton kerana menjalani penggantungan satu perlawanan, malah Kim Swee turut tidak dibenarkan berkongsi kejayaan bersama anak-anak buahnya di tengah padang sejurus selepas tamat perlawanan.

Situasi itu jelas sekali mengundang rasa kecewa Kim Swee yang menganggap seperti 'ada yang tidak kena' terhadap hukuman yang dikenakan ke atas dirinya.

"Saya percaya ada sebab tertentu sehingga saya dikenakan tindakan sedemikian. Pertamanya, saya tidak boleh menggunakan sebarang peralatan (komunikasi) seperti walkie talkie dan telefon bimbit.

"Selepas tamat perlawanan, saya juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan padang. Saya sendiri tidak tahu hukuman apa yang dijatuhkan kepada saya sehingga saya tidak dibenarkan berjumpa dengan para pemain," kata Kim Swee pada sidang media sejurus tamat perlawanan semalam.

Disebabkan tidak dapat berkomunikasi kepada para pemainnya ketika perlawanan berlangsung, Kim Swee terpaksa menggunakan 'orang tengah' iaitu tukang urut Harimau Muda, Zaidi Abdul Latip untuk memberi setiap arahan kepada pembantunya, Hassan Sazali.

Sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung, Zaidi dilihat mundar mandir dari tempat duduk Kim Swee sebelum beliau memberikan nota kecil kepada Hassan berkenaan arahan dan taktikal yang ditulis pengendali Harimau Muda itu.

Mengulas aksi anak-anak buahnya, Kim Swee mengakui, barisan Harimau Muda gagal memberikan aksi yang diharapkan khususnya pada babak pertama.

"Pada babak pertama, para pemain tidak bermain dengan begitu baik. Mungkin mereka keletihan selepas aksi menentang Indonesia sebelum ini (Khamis lalu).

"Bagaimanapun, pada babak kedua, mereka mula menampilkan karakter yang sebenar sehingga berjaya memperoleh gol pada lewat perlawanan," jelas Kim Swee.




Menyentuh kelibat Fakri yang sebelum ini gagal menemui sentuhan gol, Kim Swee menjawab: "Saya tahu kemampuan para pemain saya. Sebelum ini, saya sudah katakan, Fakri mampu menjaringkan gol.

"Hari ini (semalam) dia sudah membuktikan kepada saya yang dia mampu menjaringkan gol," tambahnya.

Sementara itu, jurulatih Myanmar, Stefan Hasson tetap berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya, sekali gus akur dengan kekalahan kepada skuad Harimau Muda.

"Kedua-dua pasukan memberikan aksi yang baik dan kami menerima padah apabila leka pada penghujung perlawanan.

"Punca kekalahan kami juga disebabkan para pemain gagal menyudahkan beberapa peluang terbaik dan gagal mengambil kesempatan atas faktor keletihan pemain Malaysia," jelas Stefan. (kosmo)

Read more...

Thursday, November 10, 2011

Sentuhan 'sang juara'


JAKARTA - Harimau Muda mula mengaum di Stadium Gelora Bung Karno.

Selepas menampilkan rentak hambar ketika seri tanpa jaringan dengan Singapura pada aksi pembukaan Kumpulan A, Isnin lalu, skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara kembali menemui sentuhan 'sang juara' apabila membenam musuh tradisi, Thailand 2-1 semalam.

Kemenangan tersebut dianggap cukup bermakna buat skuad kendalian Ong Kim Swee itu dalam misi mereka memburu slot lebih awal ke peringkat separuh akhir.
Lebih manis, kejayaan itu mengulangi pencapaian skuad negara kendalian Datuk K. Rajagobal ketika melakar kemenangan dengan keputusan yang sama ke atas Thailand pada aksi peringkat kumpulan pada temasya Sukan SEA 2009 di Laos.

Pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno yang disaksikan hampir 1,000 penonton semalam, penyerang gantian, Izzaq Faris Ramlan muncul wira Harimau Muda apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-85.

Izzaq yang masuk menggantikan pemain sayap lincah, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pada minit ke-80, tidak perlu menunggu lama untuk merobek gawang Thailand apabila bijak menyudahkan umpanan kapten Baddrol Bakhtiar.

Sebelum itu, Baddrol meletakkan skuad Harimau Muda di hadapan apabila rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol Thailand, Ukrit Wongmeema pada minit ke-25.

Gol itu berpunca dari gerakan di bahagian tengah padang hasil umpanan tonggak pertahanan kiri negara, Mohd. Asraruddin Putra Omar.

Berselang lima minit kemudian, skuad negara berpeluang menambah jaringan, namun Syahrul Azwari Ibrahim gagal mengawal bola dengan baik sekalipun dia berada dalam situasi terbaik.

Pada minit ke-35, gawang Harimau Muda pula hampir dibolosi, mujur tandukan kapten Thailand, Ronnachai Rangsiyo sekadar mengenai tiang gol.

Dua minit sebelum babak pertama tamat, pemain tengah, Irfan Fazail hampir meletakkan namanya selaku penjaring kedua Harimau Muda, namun tandukan hasil hantaran lintang Mohd. Fandi Othman sedikit tersasar.

Bersambung babak kedua, skuad negara dilihat lebih garang memburu gol. Bagaimanapun, rembatan kencang Baddrol dari luar kotak penalti pada minit ke-50 berjaya ditepis Ukrit Wongmeema.

SYAHRUL AZWARI (kiri) cuba melepaskan rembatan ke arah gawang Thailand pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno semalam.

Berselang dua minit kemudian, Kim Swee memasukkan K. Gurusamy bagi menggantikan pemain tengah berusia 17 tahun, Muhd. Nazmi Faiz Mansor yang mengalami kecederaan.

Wan Zaharul Nizam terlepas peluang menambah jaringan Harimau Muda apabila percubaannnya mengenai tiang gol sebelah kiri Thailand pada minit ke-59.

Ketika skuad negara ghairah menambah jaringan, Thailand pula berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Natarid Thammroddodpon pada minit ke-76.

Bagaimanapun, jaringan penyamaan Thailand itu tidak melunturkan semangat juang barisan Harimau Muda, sebaliknya mereka terus mengasak kubu lawan hingga akhirnya memperoleh gol kemenangan menerusi ledakan Izzaq.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Singapura turut mencatat kemenangan sulung selepas menewaskan Kemboja 2-1 malam semalam.(KOSMO)

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...