MagiC MenCari KeajaibaN: Dr.maza minda tajdid

klik sini

Ruangan Churp

Showing posts with label Dr.maza minda tajdid. Show all posts
Showing posts with label Dr.maza minda tajdid. Show all posts

Thursday, September 22, 2011

'Bukan salah Kelantan belum laksana hudud' - Dr.MAZA

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, bukan menjadi kesalahan Kelantan ekoran hukum hudud masih tidak dapat dilaksanakan di negeri itu disebabkan keterbatasannya.

Katanya, suasana kondusif untuk melaksanakan hukum itu terikat bukan sahaja dengan persekitaran dalam negeri tetapi juga dengan pentadbiran kerajaan pusat.

"Selagi Kelantan tidak mendapat kerjasama Pusat sepenuhnya, tidak mungkin suasana kondusif itu dapat diwujudkan.

"Selepas itu banyak lagi perkaitan lain yang mesti dilangsaikan sebelum dilaksanakan," kata Dr Asri (kanan).

Dalam kenyataannya hari ini, Dr Asri berkata, Kelantan telah memainkan peranan mempromosi hukuman itu walaupun masih terbatas disebabkan banyak kekangan.

"Namun apa yang penting hukuman itu dibahaskan, dibincangkan dan dipromosikan. Ijtihad-ijtihad baru juga perlu dilihat bagi mencapai maksud keadilan jika ia dilaksanakan," katanya.

Rasai kejujuran Nik Aziz

Mengulas dakwaan bahawa hasrat Kelantan itu sekadar mainan politik, Dr Asri menafikannya dengan berkata "tuduhan itulah mainan politik".

Katanya, walaupun hanya orang luar dan bukan anak Kelantan, beliau - yang sering diberi peluang melihat pentadbiran negeri itu dari dekat - yakin hasrat itu "bukan main-main".

"Ia adalah hasrat yang terbit dari perasaan tanggungjawab perintah muslim terhadap ayat-ayat Allah dalam al-Quran dan nas-nas Rasulullah SAW, dalam sunnah baginda," katanya.

Katanya, beliau pernah mendengar sendiri Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ditanya tentang hudud dan menjawab:

“Jika Allah tanya saya di akhirat, saya akan beritahu kerajaan Pusat menghalang saya melaksanakannya”.

Dr Asri berkata, daripada riak wajah Nik Aziz itu, beliau merasai kejujuran dan kebimbangan beliau yang diamanahkan pemerintahan mengenai hukum Allah itu.

MalaysiaKini






Read more...

Sunday, September 04, 2011

Dakwaan Guru Tarekat Ada Pelbagai Keajaiban?







Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin








Soalan: Prof Madya Dr Mohd Asri, keluarga saya ada terpengaruh dengan ajaran tarekat tertentu. Saya makin risau. Mereka asyik memuja tuan guru mereka. Mereka kata dia keturunan nabi jangan dipertikaikan, dia ada keramat, dia boleh tahu apa yang ada dalam hati kita dan macam-macam lagi. Saya nampak mereka bukan asyik menceritakan kehebatan Islam, tetapi kehebatan tok guru mereka. Harap Dr MAZA dapat berikan pendapat tentang hal ini.

Aishah, Seremban, NS.

Jawapan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Terima kasih kepada saudari yang bertanya. Dari soalan saudari tampak saudari menghayati hakikat sebenar ajaran Islam. Islam berteraskan tauhid dan anti syirik. Asas ajaran Islam ialah membesarkan Allah dan menghayati ajaran Allah berdasarkan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. Jika mana-mana guru menumpukan ajarannya kepada membesar Allah dan mengikuti ajaranNya seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w, maka itulah ajaran yang benar. Jika tumpuan kepada membesarkan guru, sibuk menceritakan kehebatan guru, maka itu telah terbabas dari ajaran Allah dan rasulNya. Di sini beberapa perkara patut diberikan perhatian;

1. Kesalahan sesetengah ajaran guru tarekat mereka cuma menjadikan diri mereka pusat kekaguman pengikut dengan mengada-adakan cerita kehebatan diri. Mengambil kesempatan dari fanatik pengikut menyebabkan kita lihat walaupun tarekat kononnya mengajar penganutnya agar meninggalkan cinta dunia, tetapi guru-guru tarekat yang hidup dengan kemewahan. Bahkan, menjadi trend sesetengah guru ini untuk mendampingi orang kaya dan berkuasa.
Hal ini sangat berbeza dengan mereka yang zuhud pada zaman salafussoleh. Pada zaman dahulu, walaupun ramai penguasa yang soleh, namun golongan zuhhad (ahli zuhud) yang ikhlas ini enggan mendampingi mereka bimbangkan percikan dunia. Hari ini banyak penguasa yang tidak soleh, tetapi kita lihat golongan yang menyandar diri kepada terekat ini ramai suka memakmurkan majlis-majlis kemeriahan penguasa, memuji mereka dan mendapat habuan dari mereka. Maka, sesetengah guru menjadikan ‘bicara rohani’ atau bicara keajaiban diri untuk membina empayar harta dan pengaruh.
2. Bagaimanakah seorang guru boleh mendakwa bahawa dia mengetahui apa yang tersembunyi dalam dada muridnya, sedangkan Rasulullah s.a.w pun tidak mendakwa demikian? Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda:
“Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, baginda pun menilai berdasarkan apa yang zahir dan tidak mengetahui yang batin, sedangkan baginda seorang nabi. Hanya jika ada kes tertentu yang baginda mendapat wahyu daripada Allah.
3. Nabi s.a.w pernah melihat sahabat mengahwinkan pokok tamar, lalu baginda bersabda:
“Apa yang sedang kamu lakukan?”. Jawab mereka: “Kami telah lakukannya sebelum ini”. Jawab baginda: “Barangkali jika kamu tidak buat ia lebih baik”. Maka mereka pun tidak melakukannya, lalu pokok tidak berbuah. Mereka menyebut hal tersebut kepada Nabi s.a.w, lalu baginda bersabda: “Aku ini manusia. Apabila aku menyuruh kamu dari perkara agama, maka ambillah (patuhlah). Jika aku menyuruh kamu sesuatu dari pendapatku, maka aku hanyalah seorang manusia” (Riwayat Muslim).

                                                  



Apakah guru tarekat lebih daripada Nabi s.a.w sehingga mengetahui segala perkara yang zahir dan yang tersembunyi?
4. Keturunan Nabi s.a.w memanglah satu kelebihan. Namun, itu bukan pengukur utama kemuliaan seseorang. Tiada sistem kasta dalam Islam. Berlebihan dalam memuliakan keturunan tertentu itu menyerupai ajaran hindu, atau dalam umat ini seperti ajaran Syiah. Sedangkan al-Quran menyebut:
“Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa” (Surah al-Hujurat: 13 ).
Nabi sendiri pernah menyebut:
“Wahai Fatimah binti Muhammad! Wahai Sofiyyah binti ‘Abd al-Muttalib! Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dari (hukuman) Allah” (Riwayat Muslim).
Ertinya, yang menyelamatkan seseorang itu iman dan takwa sendiri, bukanlah keturunannya.
5. Kaum keluarga Nabi s.a.w dihormati, namun ada batasan. Prof Hamka mengkritik keras dakwaan Ibn ‘Arabi iaitu tokoh rujukan sebahagian besar golongan tarekat yang menyatakan kita hendaklah menerima apa sahaja yang dilakukan oleh mereka yang berketurunan Nabi s.a.w. atau kaum sayyid kepada kita. Kata Prof Hamka:
“Tegasnya menurut fatwa Ibn Arabi ini kalau bangsa sayyid atau habib mengambil harta-benda kita hendaklah redha, hendaklah serahkan, hendaklah sabar, kalau diganggunya diri kita ditamparnya, dipukulnya hendak redha, hendaklah menyerah, hendaklah sabar. Sebab beliau cucu nabi kita dan kalau diganggunya kehormatan kita sehingga kita jadi malu, hendaklah redha, hendaklah menyerah, hendaklah sabar, kalau diganggu anak isteri kita dan kaum keluarga kita, hendaklah terima dan redha dengan menyerah dan sabar…maka perkataan Ibn Arabi ini ditanamkanlah kepada orang awam. Padahal sangat membawa hinanya sesetengah manusia di hadapan yang setengahnya, sehingga lebih hina mereka daripada budak yang telah sepuluh kali dijual dan sepuluh kali berganti tuan. Walaupun hartanya atau dirinya bahkan walaupun anak gadisnya diganggu oleh ahli bait, zuriat Rasul, dia menyerah saja dan wajib memandang itu sebagai nikmat sesudah iktisadnya dann hidupnya dijajah oleh British dan Belanda dan Cina, maka jiwanya pula wajib dijadikannya sebagai budak dan jajahan kepada kaum sayyid” (Hamka, Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m/s 72, Selangor: Pustaka Dini).



6. Para sahabah yang mulia seperti Abu Bakr, Umar dan lain-lain pun tidak pernah berkempen tentang kehebatan diri mereka. Sebaliknya, mereka sentiasa mengajak umat Islam mendahulukan Allah dan rasulNya. Ketika Abu Bakr r.a dilantik menjadi khalifah, beliau berucap:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku… Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
Padahal, orang seperti Abu Bakr al-Siddiq telah dimuliakan oleh al-Quran dan al-Sunnah, namun masih lagi mengingatkan bahawa asas Islam kembali kepada membesarkan Allah dan RasulNya. Apakah sesetengah guru tarekat ini lebih hebat daripada Abu Bakr?
7. Sesiapa sahaja hendaklah patuh kepada al-Quran dan sunnah. Ukuran kita apa yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah, bukannya tokoh. Kata al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H):
“Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang daripada kesilapan (maksudnya RasululuLah S.A.W) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat kekeliruan pada ikutan tersebut. Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima, kita tinggalkannya.”. (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 165, Beirut: Dar al-Kitab al-`Arabi).
8. Islam mengeluarkan kita dari kebodohan kepada kebijaksanaan. Dari mengikut sesuatu secara membabi buta kepada menilai dan memahami sebelum mengikut. Firman Allah:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung hati, semua anggota-anggota itu akan ditanya”. (Surah al-Isra’: ayat 36).
Wajib setiap perkataan guru dibandingkan dengan al-Quran dan al-Sunnah dan haram mengikut mengikut sesuatu yang jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
9. Mempelajari agama dari mana-mana tokoh bukanlah masalah utama, tetapi sikap bertaklid tanpa menilai dan berfikir itulah yang membawa kepada kesesatan. Jika ada tarekat yang bersumberkan al-Quran dan hadis yang sahih, maka tiada salah mengikutnya. Kesufian dan tasawwuf juga tidak menjadi masalah jika berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Namun pastikan bukan seperti yang diingatkan oleh Syeikh Manna’ al-Qattan:
“Tasawwuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya”( Mabahith Fi `Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif).

 DR.MAZA
Read more...

Saturday, September 03, 2011

Hukum Bergantung Kepada Ilmu Ladunni - DR.MAZA

Soalan: Dr Asri, suami saya seorang yang ingin mencari kebenaran. Malangnya kebelakangan ini dia terlibat dengan ajaran yang agak pelik. Dia kata dia ikut tasawwuf atau sufi. Dia mula bercakap macam-macam perkara yang bagi saya begitu falsafah. Dia kata gurunya ada ilmu ‘ladunni’. Gurunya bukan macam kita yang biasa. Gurunya macam Nabi Khidir yang tidak bergantung lagi kepada ajaran Nabi Musa. Apakah maksud semua ini?

Maziah, Gombak.

Jawapan Dr MAZA: Puan, semoga Allah merahmati puan. Sikap prihatin puan terhadap agama suami puan adalah tanda puan seorang yang sayangkan Islam. Jika benar suami puan ingin mencari kebenaran dan dia ikhlas, saya percaya satu hari Allah tetap akan membimbing dia menemui jalan yang diredhaiNya. Untuk soalan puan maka saya jawab seperti berikut;

1. Hasrat ingin membersihkan diri dengan mempelajari ilmu yang menumpukan kepada pembinaan ruh atau kesucian jiwa (tazkiyyah al-nafs) adalah sesuatu yang terpuji. Insan memerlukan hal tersebut. Sering kali ilmu pembersihan jiwa itu dinamakan dengan tasawwuf atau kesufian. Walaupun panggil ‘tasawwuf’ atau ‘sufi’ mempunyai berbagai persepsi atau pro dan kontra dalam kalangan sarjana Islam, tetapi bagi saya yang penting apakah isi kandungan ajaran yang terkandung dalamnya? Jika isi kandungan ajaran itu menepati al-Quran dan al-Sunnah, maka soal nama atau panggilan tidak begitu besar untuk diperdebatkan. Walaupun saya lebih cenderung agar dipanggil ilmu proses penyucian diri itu dengan ilmu tazkiyyah al-nafs sesuai dengan istilah digunakan oleh al-Quran dan al-Hadis.

2. Malangnya, banyak kalangan mereka yang mendakwa membawa ajaran tasawwuf atau kesufian ini tidak memfokuskan kepada penyucian jiwa, sebaliknya banyak tertumpu kepada membesar-besarkan ‘guru’ atau syeikh mereka. Falsafah-falsafah yang pelik-pelik dibangkitkan dengan menggambarkan kehebatan guru rohani yang terlibat. Maka, sepatutnya anak murid diajar untuk membesar dan mengagungkan Allah, tetapi guru mengambil kesempatan untuk dirinya turut dibesarkan. Sehingga seorang sarjana al-Syeikh Manna’ al-Qattan menyebut:

“Tasawwuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya”( Mabahith Fi `Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif).

3. Dalam al-Quran, dalam Surah al-Kahf (ayat 60-82). Allah menceritakan pengembaraan Nabi Musa mencari Khidir a.s. bagi menuntut ilmu daripadanya. Semasa perjalanan Nabi Musa a.s. menemani Khidir a.s., baginda telah melihat beberapa tindakan Khidir a.s. yang menyanggahi syariat yang diturunkan kepadanya (Musa) lalu baginda membantahnya. Setelah tiga kali pertanyaan serta bantahan dibuat oleh Musa a.s. terhadap tiga tindakan yang dilakukan oleh Khidir, akhirnya Khidir pun tidak lagi membenarkan Musa a.s. mengikuti dan menceritakan rahsia segala tindakan-tindakannya yang dianggap oleh Nabi Musa a.s. sebagai kesalahan.

Dengan mempergunakan kisah dalam Surah al-Kahf berkenaan maka sesetengah golongan tarikat beralasan bahawa para wali dibolehkan tidak mengikut syariat para nabi dan boleh melakukan segala tindakan yang dianggap salah oleh golongan zahir tetapi betul di sisi ilmu hakikat atau ilmu ladunni. Ini kononnya sama seperti tindakan Khidir yang tidak mengikut Nabi Musa a.s. kerana Khidir adalah wali Allah dia menilai dengan ilmu ladunni yang terus menerus daripada Allah sedangkan Musa a.s adalah seorang nabi yang menilai dengan ilmu syariat semata. Justeru itu golongan hakikat tidak sama dengan golongan syariat dan golongan hakikat tidak perlu mengikut syariat seperti Khidir tidak perlu mengikut Musa.

4. Perkataan ilmu ladunni itu diambil dari ungkapan al-Quran dalam kisah tersebut pada ayat 65 dari Surah al-Kahf, Allah berfirman: (maksudnya):

“Lalu mereka berdua (Musa dan Yusya’ bin Nun) telah bertemu seorang hamba (Khidir) dari kalangan hamba-hamba Kami (Allah) yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan Kami berikan kepadanya ilmu dari sisi Kami”.

Oleh kerana ayat ini (dalam teks asal al-Quran) menyebut min ladunna ilma (ilmu dari sisi Kami) maka muncul istilah ilmu ladunni. Dengan istilah ini ada golongan mengambil kesempatan untuk mengatakan mereka juga mempunyai ilmu ladunni oleh itu mereka tidak terikat atau bergantung dengan syariat zahir seperti Khidir tidak bergantung kepada syariat Musa a.s.

5. Seorang tokoh tafsir terkenal yang juga merupakan guru saya iaitu al-Syeikh ‘Abd al-Fattah Solah al-Khalidi menyebut:

“Selepas melihat perkataan-perkataan daripada para ulama kita maka kita dapat membuat suatu keputusan yang putus iaitu: Ilmu ladunni yang diisyaratkan oleh ayat tersebut, yang telah Allah ajarkannya kepada Khidir a.s. sebenar ialah nubuwwah (kenabian) dan wahyu. Adapun pengakuan dan dakwaan golongan sufi mengenai ilmu ladunni menurut kefahaman mereka itu, adalah batil, sesat, menyanggahi syariat Islam dan petunjuk al-Quran” (Ma`a Qasas as-Sabiqin Fi al-Quran 2/186. Syria: Dar al-Qalam).

6. Ertinya, tindakan- tindakan Khidir dalam kisah tersebut adalah atas arahan wahyu daripada Allah. Beliau itu nabi. Nabi Musa a.s. diutuskan kepada Bani Israil, tidak diutuskan kepada Khidir. Khidir menerima arahan langsung daripada Allah melalui jalan wahyu. Segala tindakan Khidir adalah perintah Allah melalui jalan wahyu. Beliau tidak bergantung kepada ajaran Nabi Musa a.s. yang diutuskan hanya untuk Bani Israil.

Adapun Nabi Muhammad S.A.W. adalah utusan untuk sekelian manusia tanpa kecuali dan tidak ada yang terlepas dari berada di bawah lembayung ajarannya. Semua kita bergantung kepada syariat baginda dan sudah tiada nabi lagi selepas baginda. Nabi s.a.w bersabda:

“Dahulu nabi diutuskan khusus untuk kaumnya, aku diutuskan untuk manusia keseluruhannya”. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Maka, kita semua terikat dengan syariat nabi kita Muhammad s.a.w. Tiada sesiapa yang boleh memandai-mandai membuat syariat sendiri atau mendakwa dia mendapat syariat baru secara langsung wahyu dari Allah. Jika ini dibenarkan, bererti setiap orang berpotensi untuk mencetuskan ajaran baru atas nama Allah. Maka ajaran Nabi Muhammad tiada lagi nilainya. Justeru, al-Imam Ibn Abi al-`Izz (792H) dalam kitab akidah yang masyhur iaitu Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah menyebut:

“Adapun sesiapa yang berpegang dengan kisah Musa bersama Khidir a.s. bagi membolehkannya meninggalkan wahyu kerana bergantung dengan ilmu ladunni, seperti yang didakwa oleh yang tidak mendapat taufik, maka dia adalah mulhid (atheis) dan zindak (munafik). Ini kerana Musa a.s. bukanlah Rasul yang diutuskan kepada Khidir. Khidir juga tidak diperintah untuk mengikutnya. Sebab itulah Khidir bertanya Musa: “Apakah engkau Musa dari Bani Israil?” Jawab Musa: “Ya!” (Riwayat al-Bukhari). Adapun Muhammad adalah diutuskan untuk seluruh manusia dan jin. Sekiranya Musa dan `Isa masih hidup maka mereka mesti menjadi pengikutnya. Apabila `Isa turun ke bumi (pada akhir zaman) dia hanya akan berhukum dengan syariat Muhammad. Oleh itu sesiapa yang mendakwa bahawa kedudukan dia bersama Muhammad seperti Khidir bersama Musa atau membolehkan (mempercayai) hal ini boleh berlaku untuk sesiapa di kalangan umat maka hendaklah dia memperbaharui keislamannya. Hendaklah dia kembali bersyahadah dengan syahadah yang benar kerana dia telah terkeluar dari Islam keseluruhannya. Sama sekali dia bukan dari kalangan wali-wali al-Rahman (Allah) sebaliknya dia adalah wali-wali syaitan”. (Syarh al-`Aqidah at-Tahawiyyah, m.s. 511. Beirut al-Maktab al-Islami).

Ya, kenyataan ini agak keras, namun kita patut mengambil mengiktibaran darinya.

7. Kenyataan-kenyataan para ulama seperti al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya ketika menyanggah golongan yang memutar belitkan maksud ilmu ladunni ini, begitu tegas dan keras. Ini disebab dakwaan ini boleh menyebabkan ditolak ajaran Nabi s.a.w dan wujudnya syariat baru selain Islam. Maka dakwaan ilmu ladunni dalam bentuk syariat yang berbeza dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah sesat dan boleh membawa kufur.

8. Namun, ini tidak menafikan bahawa Allah mungkin memberikan mimpi yang benar dan ilham yang benar kepada seseorang dalam hal-hal kehidupan yang bukan bersifat syariat baru. Seseorang mungkin ditunjuk pilihan yang betul dalam berkeluarga, berkerjaya atau seumpamanya. Namun, semua mimpi dan ilham itu mestilah dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah untuk memasti ia bukan mainan syaitan.

Dipetik dari Dr.MAZA





Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...