SEGELINTIR pelajar jadikan Taman Cahaya Masai sebagai tempat kegiatan maksiat pada awal pagi
Penduduk Taman Cahaya Masai kesal kegiatan sumbang kawasan rumah
JOHOR BAHRU: Penduduk Taman Cahaya Masai di sini, kesal dengan gelagat pelajar institusi pengajian tinggi kerana suka berpeleseran hingga awal pagi, termasuk membawa teman berlainan jantina ke rumah masing-masing.
Sikap kumpulan pelajar terbabit yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga tata susila hidup di situ, menyebabkan taman perumahan itu turut mendapat jolokan sebagai Taman Cahaya Maksiat.
Suri rumah, Azizah Hamzah, 42, berkata tindakan pelajar melakukan maksiat dan mengamalkan gaya hidup sosial melampau atau sesuatu yang tidak baik.
“Kebanyakan mereka menyewa sekitar taman perumahan ini kerana pusat pengajian mereka berdepan masalah kekurangan asrama. Namun, apabila duduk di rumah sewa di sini, masing-masing tidak menjaga adab dan tatasusila.
“Berdasarkan etika pakaian setiap kali hendak keluar belajar di kampus, masing-masing kelihatan berpakaian kemas termasuk bertudung bagi yang perempuan.
“Malangnya, apabila sampai di kawasan rumah masing-masing, yang perempuan hanya bersinglet dan berseluar pendek di luar rumah. Setiap hari, pasti ada lelaki yang datang bertandang di rumah terbabit," katanya.
Azizah berkata, ada di kalangan pemilik rumah sewa yang prihatin, melakukan pemeriksaan mengejut terhadap kediaman terbabit dan terserempak dengan pelajar perempuan yang membawa teman lelaki masuk rumah.
Penduduk, Melati Rosli, 42, menyifatkan kumpulan pelajar terbabit sebagai sudah melampau batasan apabila tidak menghormati sensitiviti masyarakat setempat dan perumahan itu yang turut didiami golongan berkeluarga.
"Mereka menjadikan taman ini seperti kawasan pelacuran apabila bawa teman lelaki masuk rumah serta berpeleseran sesuka hati kerana masing-masing jauh daripada ibu bapa dan masa sama tidak dikawal oleh pengurusan pusat pengajian,” katanya.
Melati mendakwa, ada di kalang-an pelajar terbabit yang bertindak balas dengan membaling mercun atau telur busuk kepada rumah penduduk yang menegur perbuatan maksiat mereka.
Ahli Jawatankuasa Surau An-Nuur berdekatan, Muhd Zaidi Ghazali, 40, menyifatkan gejala negatif yang ditunjukkan golongan pelajar terbabit adalah barah yang boleh merosakkan diri sendiri.
“Perlakuan maksiat di kalangan pelajar ini boleh mengundang bala pada seluruh penduduk taman kerana ia merosakkan nama baik institusi pengajian mereka serta pelajar yang tidak bersalah selain memalukan perumahan ini,” katanya.
Tinjauan Berita Harian mendapati kawasan sekitar rumah yang disewa kumpulan pelajar berkenaan mulai sibuk dengan kereta yang keluar masuk menjemput pelajar perempuan mulai jam 8 malam.
Malah, sehingga jam 2 pagi, masih ada pelajar perempuan dan lelaki sedang berbual mesra di luar rumah sewa dan lorong gelap berdekatan tanpa menghiraukan jiran dan penduduk yang kurang senang dengan perbuatan terbabit. -Berita Harian
2 rungutan:
wah cahaya massai tu...ish2...:-)
knl ke tmpat 2?
Post a Comment