Tidak selamat dengan peminat - Alif Satar | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Saturday, October 29, 2011

Tidak selamat dengan peminat - Alif Satar


MULA menyertai pertandingan One In A Milion (8TV) pada tahun 2006, Alif Satar atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd. Satar mula membina nama dalam industri seni setapak demi setapak seawal usia 16 tahun.

Tiga tahun menimba ilmu dan mengaut pengalaman, penyanyi berasal dari Kuala Lumpur itu kemudiannya mengeluarkan album pertamanya berjudul Nakal dengan menampilkan lagu pop popular Jangan Nakal.

Menakjubkan apabila lagu tersebut menjadi kegilaan dan siulan ramai terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja. Alif yang ketika itu berusia 19 tahun mula dikenali sebagai penyanyi bagi ikon kanak-kanak.

Kini, sesuai dengan usianya yang sudah menginjak 21 tahun, Alif muncul dengan album kedua berjudul Lelaki Seperti Aku seterusnya menampilkan sisi matangnya.

Begitupun, Alif masih mengekalkan lagu bergenre pop dan mudah didengar bagi mengekalkan selera pendengar kanak-kanak dan remaja.

"Walaupun untuk album kedua ini saya menampilkan sisi matang tetapi saya yakin pendengar yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja masih ada. Sebabnya mereka juga membesar dengan kerjaya seni saya.

"Sebagai contoh, penyanyi Justin Timberlake yang mula dengan Disney, kemudian beralih kepada kumpulan remaja N'Sync dan sekarang menampilkan ciri-ciri seorang lelaki apabila menyanyi secara solo," katanya yang mahu dirinya melalui fasa seperti Justin yang sentiasa diterima dan disokong peminat sejak awal sehingga kini.

Peminat dua tahun

Berasa puas dengan pemilihan lagu yang terdapat dalam album terbaharu itu, Alif juga berasa terharu kerana sambutan single pertamanya, Lelaki Seperti Aku berjaya menduduki carta tertinggi di beberapa stesen radio tempatan.

Malah, dia merasa bangga kerana lagu Lelaki Seperti Aku telah dinyanyikan oleh kanak-kanak berusia dua tahun dan ia telah dimuat turun dalam laman YouTube. Begitu juga dengan penyanyi remaja Shila Amzah yang turut menyanyikan lagu itu dalam versi perempuan iaitu Gadis Seperti Aku.

ALIF kini sedang melalui fasa transisi dalam kerjaya seni seiring dengan peningkatan usianya.

"Ia penghormatan buat diri saya apabila penyanyi Shila Amzah ingin menyanyikan lagu ini untuk versi perempuan dan meletakkan videonya di laman YouTube. Video itu telah ditonton hampir 100,000 orang," katanya ketika ditemui selepas majlis pradengar album keduanya di pejabat Sony Music Entertainment Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidak mahu mengikut kata hati semata-mata, Alif lebih suka menghasilkan lagu mengikut selera pendengar.

Katanya, dia tidak mahu mencipta sesuatu lagu yang tidak dekat dengan peminatnya.

Bercakap tentang kepuasan dalam nyanyian, menurut Alif, dia lebih suka menyanyi lagu bergenre jazz.

"Memang benar muzik jazz menjadi pilihan berbanding pop tetapi saya lebih senang menurut permintaan peminat yang lebih suka jika saya menyanyikan lagu pop. Namum Insya-Allah satu hari nanti saya akan mencita sebuah album dan lagu yang menunjukkan kematangan sebenar dan ia menepati kepuasan sebenar saya," ujarnya.

Alif juga tidak kisah jika dia masih dilabelkan sebagai ikon kanak-kanak kerana sememangnya golongan itu yang banyak membantu kariernya sejak dahulu lagi.

Ditebak persoalan tentang kenapakah dia kini berani muncul dengan album yang menampilkan kematangannya selari dengan usianya yang kini mencapai 21 tahun, jawab Alif, dia khuatir popularitinya di kalangan peminat belum terjamin sepenuhnya.

"Saya bukan macam penyanyi Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir. Saya masih berasa tidak 'secure' dengan peminat sendiri. Jadi, saya harus mencipta sesuatu yang menepati selera mereka," katanya jujur.

Sebanyak 80 buah lagu yang ada dipilih untuk dimuatkan dalam album kedua Alif yang bakal dipasarkan pada 28 Oktober ini. Album itu menampilkan sebanyak lapan buah lagu termasuk sebuah lagu Inggeris ciptaan penyanyi baharu, Amirah Ali berjudul There We Go.

"There We Go merupakan lagu Inggeris pertama yang dirakamkan. Pengalaman merakamkan lagu Inggeris pertama tidak sukar seperti yang saya bayangkan tetapi perasaan gementar tetap ada lebih-lebih lagi 'feedback' daripada peminat," katanya.

Selain There We Go, Alif turut menyanyikan lagu Inggeris nyanyian Kelly Clarkson & Justin Guarini yang berjudul Timeless. Alif Satar bergandingan dengan penyanyi popular dari Filipina, Julia Abueva yang mempunyai vokal yang cukup memukau.

Lagu lain yang turut dimuatkan dalam album itu adalah Pendusta, Rapuh, Dalam Sunyi dan Abdul yang merupakan single kedua album itu.

Tentang Abdul

Amat jarang seorang penyanyi lelaki menyanyikan lagu untuk lelaki. Tetapi bagi Alif, Abdul semenangnya seorang yang istimewa di matanya.

"Abdul ditulis sepenuhnya oleh Panji Sakti menampilkan lirik yang 'catchy', mudah diingat serta susunan muziknya yang 'fun'.

"Ia bukan lagu yang memuji tetapi sebuah lagu yang menceritakan sikap lelaki yang bernama Abdul," katanya mengenai lagu Abdul yang mirip melodi lagu popular I'm Yours nyanyian Jason Mraz.

Selain mencipta nama sebagai penyanyi, Alif juga dikenali sebagai pelakon dan pengacara. Baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Cuak untuk stesen Astro Ceria, Alif juga terlibat dengan telefilem Lari Sayang Lari yang mula bersiaran di Astro Prima pada 23 Oktober lalu.
RAIH kepercayaan. Alif menerima hadiah kek istimewa daripada pengarah urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Adrian Lim.

"Lari Sayang Lari adalah sebuah drama arahan pengarah Jepun yang juga seorang penulis skrip terkenal di Hollywood, Yasu Tanaka. Jika ia mendapat sambutan yang baik, saya diberitahu ia akan dikembangkan pula sebagai sebuah drama bersiri," katanya.

Bercerita mengenai bidang pengacaraan pula, Alif ketika ini sedang mempersiapkan diri untuk kembali ke set program realiti, Idola Kecil 4.

Dia bersyukur kerana diberi kepercayaan sekali lagi untuk mengacarakan program itu untuk empat musim berturut-turut.

"Alhamdulillah, saya masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan program Idola Kecil. Kehadiran lebih 3,000 peserta sangat memberansangkan. Bayangkan, ketika uji bakat dilakukan, ada seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menyanyikan lagu Adele iaitu Rolling In The Deep sambil bermain gitar.

"Dia berjaya memukau semua orang. Justeru, Idola Kecil tahun ini antara rancangan yang perlu anda saksikan kerana kita semua pasti terkejut melihat kebolehan setiap peserta yang ada," katanya lagi.(KOSMO)

0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...