TOMOK bakal ke London untuk menjalani penggambaran klip video bersama band One Night Only pada November ini.
USAI menjalani penggambaran filem Istanbul Aku Datang, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 27, gembira bukan kepalang saat kakinya kembali menjejak bumi Malaysia.
Gembiranya dilahirnya dalam panjat syukur atas nikmat dan rezeki sulung yang dilimpahkan yang Maha Esa, akhirnya tidak lama lagi Tomok juga bakal menukar statusnya menjadi bapa.
Biarpun usia kandungan isterinya, Siti Rahayu Abas, 32, baru mencecah dua bulan, keterujaan luar biasa dilihat dari raut wajah pemenang rancangan realiti One In A Million (OIAM) itu.
“Saya berada di Istanbul selama dua minggu dan pada minggu pertamanya saya mendapat panggilan telefon dari Malaysia pada pukul 5 pagi.
“Debaran cemas bertukar ceria apabila isteri memaklumkan dia mengandung selepas membuat ujian menggunakan alat pengesan kehamilan,” katanya yang ditemui ketika majlis sidang akhbar pengumuman 30 lagu ke separuh akhir Muzik-Muzik 26 di Wisma Bentley, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini.
Hadiah paling bermakna buat dirinya itu disimpan untuk pengetahuan pasangan suami isteri itu saja sepanjang tempoh Tomok berada di Istanbul, Turki.
Namun, sepanjang tempoh seminggu berbaki di bumi anbiya itu sang suami tidak putus-putus menanyakan khabar si isteri di tanah Malaysia.
“Gembira tidak terkata selepas dapat tahu berita gembira itu, selepas khabar itu saya macam tidak boleh tidur malam dan setiap hari bertanya khabar dia,” luah Tomok yang melangsungkan perkahwinannya dengan Ayu pada 1 Julai lalu.
Pulang dari Istanbul, pasangan sejoli itu segera berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan yang tepat mengenai status kandungan isterinya.
“Selepas pemeriksaan, doktor mendapati isteri saya sah mengandung dua bulan dan selepas itu barulah kami suami isteri memaklumkan khabar gembira ini kepada keluarga terdekat,” ujarnya yang sememangnya bersedia menimang cahaya mata.
Terkini, isterinya Ayu sekadar muntah-muntah namun belum mengidam makanan yang pelik-pelik. Betapa terujanya Tomok apabila dia pula mengambil tugas Ayu membuat kerja rumah.
“Katanya, badan selalu tidak selesa dan sekarang saya akan membantunya membuat kerja rumah, buat masa sekarang saya memintanya berhenti bekerja seketika sehingga selepas dia bersalin,” ceritanya yang tidak kisah dikurniakan anak lelaki ataupun perempuan.
Bagaikan Bidadari
Menerusi separuh akhir Muzik-Muzik 26, Tomok turut tercalon menerusi lagu Bagaikan Bidadari.
Lagu ciptaan komposer Aubrey Suwito dan lirik olehnya sendiri itu akan berentap bersama 10 buah lagu lain pada separuh akhir kedua, 25 November ini.
“Insya-Allah saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk melengkapkan hatrik saya ke pusingan akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) selepas lagu Berlari (AJL 25) dan Rindu Terhenti (AJL 24),” getus Tomok menyimpan impian.
Tomok dalam pada itu, sedang membuat persiapan mengadakan penggambaran klip video bersama band One Night Only di London pada bulan November ini.
Selain terlibat dalam Bidadari, dia juga akan mengadakan konsert sempena Kempen Buka Semangat TV3 & Coca Cola pada hujung tahun ini.(KOSMO)
0 rungutan:
Post a Comment