GHAZLIZANIF GHAZALI bukanlah seorang penggemar drama Korea sebelum ini. Lakonan yang keterlaluan terutamanya melibatkan adegan menangis dirasakannya memualkan.
Namun, keadaan sebaliknya berlaku pada tahun 2007 apabila dia tiba-tiba menggilai pelbagai bentuk hiburan dari negara itu.
Segalanya bermula selepas dia menyertai pertandingan anjuran sebuah syarikat penjual kanta lekap.
Secara kebetulan, Ghazlizanif memenangi pertandingan itu dan dihadiahkan sekeping tiket konsert penyanyi Korea, Rain bernilai RM50.
“Saya begitu terpesona dengan gaya tarian dan lagu-lagunya. Persembahan Rain sangat menarik,” ujarnya yang pergi menonton konsert itu bersama kawan-kawan.
Dia yang ditemui di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, pada konsert itulah dia mengenali bintang Korea itu buat pertama kali dan anehnya, dia terus meminatinya.
Sejak itu, dia terus mengikuti semua kerja seni Rain, daripada drama bersiri pertama lakonan Rain, Full House sehinggalah lakonan berkarakter serius, A Love To Kill.
Kemuncaknya, Ghazalizanif, 33, sanggup berkelana seorang diri ke Vietnam dan membelanjakan wang lebih RM1,000 semata-mata untuk menonton Konsert Jelajah Rain di sana.
Dia juga pergi ke Macau untuk melihat konsert Rain selain menonton semua persembahan Rain di Malaysia.
Hiburan Korea Selatan atau lebih dikenali sebagai gelombang Korea (Hallyu) mula menawan dunia pada penghujung tahun 1990-an.
Bermula dengan tayangan drama bersiri terbitan negara itu seperti Winter Sonata, Stairway to Heaven dan Autumn in My Heart di negara-negara Asia Tenggara.
Kemudian, ia disusuli dengan bentuk hiburan lain seperti filem, program komedi dan kumpulan pop Korea atau lebih dikenali sebagai K-Pop seperti Girl Generation, Super Junior dan 2PM.
Bagi seorang eksekutif sumber manusia, Liza Shafinaz Abu bakar, minatnya terhadap hiburan Korea telah membawanya terbang ke bandar raya Seoul pada Mac lalu.
Melancong selama 10 hari, tabiat Liza yang akan menonton drama Korea setiap hari telah memudahkan dia berkomunikasi di sana khususnya melibatkan perkataan yang ringkas seperti terima kasih dan ucap selamat.
Terangnya, terima kasih dalam bahasa Korea adalah kamsamida, ucapan selamat adalah anyeong manakala pak cik atau mak cik disebut sebagai ajuma atau ajusshi.
“Rata-rata orang Korea terkejut apabila kita bertutur dalam bahasa mereka walaupun sedikit. Tetapi mereka bangga kerana perkembangan industri hiburan mereka mula menampakkan kesan kepada rakyat asing,” ujar gadis berusia 27 tahun itu.
Di rumah, Liza memiliki sebuah televisyen khas untuk dia menonton drama Korea setiap hari. Laman web yang menjadi kesukaannya untuk memuat turun drama Korea pula adalah mysoju.com.
GHAZLIZANIF meminati bahan hiburan Korea selepas menonton konsert Rain di Kuala Lumpur pada tahun 2007.
Untuk mendapatkan berita terkini dunia hiburan di sana, dia melayari laman web dramabeans.com dan koreandrama.com.
Solekan gaya Korea
Lain pula kisahnya dengan, Ooi Kooi Lee, 24. Wanita Cina itu sering menjadikan gaya solekan aktres Korea sebagai rujukan utama.
Menurut Kooi Lee, solekannya harus kelihatan semula jadi dan tidak keterlaluan. Cukup sekadar sapuan pemerah pipi manakala gincu dan pembayang mata perlu dalam rona yang sama dan tidak kontras. Solekan pada mata pula harus sedikit ketara.
“Garisan celak dilukis agak condong ke atas dengan sapuan pembayang mata ton warna semula jadi. Untuk itu, krim BB adalah produk yang wajib dipakai,” ujar pekerja di sebuah agensi pencari bakat di Bangsar itu.
Krim BB (Blemish Balm) atau salap penutup kecacatan merupakan sejenis alat solek dari Korea yang menggabungkan beberapa fungsi seperti bedak asas, pelembap dan krim jeragat dalam satu produk. Ia didakwa sering digunakan oleh para selebriti Korea.
Gaya potongan rambut selebriti Korea yang menjadi ikutan Kooi Lee pula adalah jenis potongan fringe. Ia digayakan bergantung kepada kreativiti individu.
Dia menambah, amat mudah mendapatkan produk kecantikan yang memberi penampilan seakan-akan pelakon Korea kerana ia banyak dijual di pusat beli-belah.
“Bagaimanapun, saya lebih suka membelinya di kedai Phill Mart yang terletak di Ampang,” ujar Kooi Lee.
Bagi mendapatkan pakaian, butik-butik di Plaza Sungai Wang sering menjadi pilihannya.
ORANG muda Malaysia mempunyai pelbagai alasan untuk menyukai penyanyi dan pelakon Korea.
Sementara itu, pelakon yang pernah menjalani penggambaran drama bersiri Awan Dania di Seoul, Scha Al-Yahya, 28, mengakui bahawa paparan persekitaran yang ditonjolkan dalam drama-drama Korea adalah realiti di negara itu.
Menurutnya, penduduk bandar raya Seoul sentiasa bergaya walaupun mereka ialah pelajar sekolah.
“Saya dapat melihat pelajar sekolah yang berpakaian seragam memakai pelbagai aksesori seperti pengikat rambut dan beg. Lelaki dan wanita dewasa pula lebih bergaya lagi,” ujarnya yang berada di Seoul selama 12 hari pada Oktober 2010.
Selain itu, Scha turut melawat pusat teknologi Korea di Incheon yang menghimpunkan pelbagai teknologi terkini dan ada antaranya telah dipaparkan dalam filem-filem mereka.
Realiti Korea
Melalui pemerhatiannya juga, penduduk Seoul sentiasa sibuk. Mereka akan bergegas ke tempat kerja seawal pukul 6 pagi.
“Langkah kaki mereka sangat laju malah ada yang hampir berlanggar bahu. Jika terlanggar pun, mereka akan terus berlalu seperti tiada apa berlaku,” terang pemilik nama Sharifah Nor Azian Syed Mahadzir itu.
Scha bukanlah individu yang meminati bahan hiburan Korea tetapi dia ada menonton beberapa klip video K-Pop atas saranan rakan-rakannya.
Bukan Scha sahaja yang tidak menggemari hiburan dari Korea. Lee Chee Wan, 23, juga tidak suka menonton drama-drama tersebut kerana kekangan bahasa.
“Masalahnya apabila disiarkan di televisyen tempatan, ia telah dialih bahasa ke bahasa Mandarin sedangkan saya penutur bahasa Kantonis.
“Manakala sari katanya dalam bahasa Melayu. Saya tidak gemar membaca ketika menonton,” ujarnya yang bekerja sebagai pereka grafik.
Tambah Chee Wan, drama Korea mempunyai jalan cerita yang boleh dianggap biasa sahaja.
“Bagi saya tiada kelainan ketara dalam karya mereka,” ujarnya. -KOSMO
0 rungutan:
Post a Comment