Tiada lagi cinta - Yana Samsudin | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Monday, October 17, 2011

Tiada lagi cinta - Yana Samsudin


Berkasih cuma di filem

MEREKA pernah melayari bahtera cinta dan mengecapi kemanisan sebagai pasangan kekasih. Namun suratan takdir menentukan jodoh mereka tidak panjang dan hubungan selama tiga tahun itu terpaksa diakhiri dengan perpisahan. Begitupun, sehingga kini punca atau sebab mengapa pelakon Yana Samsudin dan Pierre Andre berpisah tetap tidak diketahui. Namun yang pasti, kedua-duanya berpisah secara baik, tanpa membabitkan sebarang pertikaman lidah.
Tetapi bak kata pepatah, walaupun luka sudah sembuh, namun parutnya tetap ada. Biarpun di bibir terluah kata-kata hidup perlu diteruskan selepas apa yang diharapkan tidak kesampaian, namun ia tidaklah semudah yang diucapkan.
Bayangkan bagaimana perasaan, apabila mendapat tahu diri bakal berdepan dengan bekas kekasih yang sudah lama tidak ditemui.

Bergetar jiwa pemilik nama penuh Norliana Samsudin ini dan dia bagaikan berperang dengan dirinya sendiri apabila mendapat tahu dia bakal digandingkan dengan Pierre dalam filem arahan Hashim Rejab, berjudul 3 Temujanji. Kelu lidahnya seketika dan dia tidak tahu, apakah reaksi yang harus ditunjukkan sebaik saja penerbit filem berkenaan, David Teo, memaklumkan padanya berita yang mengejutkan itu.

“Saya akui terkejut apabila David memberitahu saya, Pierre turut berlakon dalam filem itu. Melihat reaksi spontan saya, David berkali-kali bertanyakan pada saya, adakah saya setuju dengan permintaannya. Walaupun dalam hati saya berdebar, namun atas dasar profesionalisme, saya bersetuju dengan tawaran terbabit.

“Bagaimanapun, terdetik juga dalam hati, bagaimanakah nanti apabila saya harus berdepan dengannya? Memanglah saya sudah melupakan semua yang berlaku, tapi bohonglah kalau saya katakan yang sekelumit pun saya tidak terkenang cerita masa lalu,” kata pemenang kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 yang lalu.
Mujurlah apabila tiba saatnya untuk dia berdepan dengan jejaka berkenaan, pengarah filem Al-Hijab itu memberikan tindak balas yang cukup mesra, sekali gus memudahkan dirinya untuk mendapatkan keserasian sebelum berada di lokasi penggambaran sebenar.

“Kali pertama berjumpa dengan Pierre, saya akui perasaan memang berdebar-debar. Namun reaksi Pierre, yang memahami apa yang bersarang di hati saya pada waktu itu, memudahkan kami untuk berinteraksi. Apabila sesekali dia membangkitkan memori sewaktu kami bercinta dulu, sedikit sebanyak ia melegakan hati saya dan membuatkan saya semakin selesa.

“Namun ia bukanlah bermakna kami ingin mencantumkan semula apa yang pernah berkecai sebelum ini. Cuma saya perlukan keserasian sebelum kami berlakon bersama. Begitupun saya akui, bukan mudah sebenarnya untuk berbuat begitu. Apapun, saya bersyukur apabila filem ini selamat menjalani penggambaran baru-baru ini,” cerita pelakon yang turut bergelar pengarah, editor, penulis skrip, penyanyi dan model ini.

Diusik pertanyaan apakah dia bersedia untuk berdepan dengan pelbagai spekulasi terutama ketika mempromosikan filem 3 Temujanji nanti, Yana menegaskan sekali lagi bahawa hubungan itu tetap terbatas setakat pasangan kekasih dalam filem itu saja.

”Rasanya tak mungkin kami akan bercinta kembali. Lagipun, sebelum ini dia pernah memberitahu saya dia sudah pun mempunyai kekasih. Saya sendiri tidak terfikir untuk mempunyai teman lelaki dalam tempoh setahun dua ini kerana mahu memfokuskan sepenuhnya pada kerjaya saya dalam bidang lakonan,” katanya yang kelihatan jelita dengan solekan hasil sentuhan Epie Temerloh.

Takut badi anugerah

LAKONANNYA dalam filem Adnan Sempit pernah mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM23. Namun entahkan satu sumpahan atau kebetulan, biasanya mereka yang mendapat anugerah sering dikatakan terkena badi apabila mereka kemudiannya jarang menerima tawaran berlakon.

Dan kata Yana, dia sendiri pernah dihantui perasaan takut terkena badi sebaik saja anugerah itu berada dalam genggamannya.

“Pernah dalam satu sidang media, saya sangat takut untuk memegang anugerah itu kerana bimbang jika badi tidak ditawarkan berlakon selepas menang anugerah terkena pada saya. Namun apabila David sendiri berkata, mengapa pula saya perlu tolak rezeki (kemenangan) dari Tuhan, saya akhirnya mengakui hakikat itu.

“Lebih menggembirakan, selepas memang anugerah itu, tawaran berlakon yang saya terima semakin kencang. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan semua rezeki itu,” kata gadis berusia 27 tahun ini.

Sementara itu, selepas mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta, kira-kira empat tahun lalu, Yana nampaknya lebih selesa memfokuskan kerjayanya dalam bidang lakonan. Apakah dia kini sudah tidak berminat untuk duduk di kerusi sutradara? Menjawab persoalan itu, Yana menegaskan, minatnya untuk mengarah tidak pernah mati.

“Bukannya saya tak minat mengarah, cuma selepas mengarahkan filem Selamat Pagi Cinta, saya sambung balik pengajian saya selama dua tahun dan sepanjang tempoh itu, saya banyak menerima tawaran berlakon. Sebagai pengarah yang terbabit dalam program Skim Pengarah Muda, saya masih berhutang sembilan filem lagi.

“Insya-Allah, jika perbincangan berjalan lancar, saya mungkin akan memulakan projek arahan filem baru pada November nanti. Ceritanya berkonsepkan komedi.

Tapi saya belum boleh jelaskan dengan lanjut lagi kerana ia masih dalam peringkat perbincangan pada ketika ini,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Layar, UiTM ini, berahsia.

Berita Harian



0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...