PEMAIN Negeri Sembilan, Hairuddin Omar dihalang Pemain Terengganu, Mohd Faiza Mohamad dalam Piala Malaysia di stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.
Terengganu tersungkur di Paroi
NEGERI Sembilan sudah mula memberi isyarat betapa mereka kini muncul selaku ancaman terbaru memburu mahkota kejuaraan Piala Malaysia, musim ini.
Malam tadi, anak didik Azraai Khor Abdullah merakamkan kemenangan penting menewaskan juara baru Piala FA, Terengganu 1-0 dalam saingan Kumpulan C di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi hasil jaringan tunggal Shahurain Abu Samah yang menolak masuk pada minit ke 64.
Dalam perlawanan lain, Selangor juga dihimpit masalah apabila sekadar seri 0-0 ketika menentang Kuala Lumpur manakala Perak terus menyambung rentak hebat menewaskan bekas juara Kedah, 2-1 di Ipoh.
Pada awal minit perlawanan, Negeri Sembilan lebih menguasai perlawanan apabila hampir mendahului seawal minit ke-11, namun tendangan Hairuddin Omar tepat ke dakapan, Mohd Sharbinee Allawe.
Pada minit ke 28, penyerang berpengalaman itu sekali lagi terlepas peluang menjaringkan gol apabila gagal menolak masuk bola ke gawang selepas cemerlang memperdayakan pertahanan Terengganu diketuai Marzuki Yusoff.
Langkah jurulatih, Azraai Khor menggandingkan Hairuddin, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Firdaus Azizul di barisan depan tampak berkesan apabila berjaya menembusi gawang Terengganu menerusi Shahurain yang menolak masuk pada minit ke 64.
Sementara itu, satu lagi perlawanan Kumpulan B menyaksikan PKNS berjaya mengutip mata penuh mengetepikan saingan Sime Darby 1-0 menerusi jaringan P Rajesh pada minit kesembilan.
Berita Harian
0 rungutan:
Post a Comment