SAFEE berlatih di Cardiff City hingga 26 September ini.
Imigresen Britain sekat keluar permit kerja pemain
BIARPUN penyerang sensasi negara, Safee Sali berjaya memikat hati pengurus Cardiff City, Malky MacKay setakat seminggu berlatih bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu, impiannya mungkin tidak kesampaian akibat menjadi mangsa birokrasi kerajaan Britain.
Mackay tampak memberi perhatian terhadap Safee, 27, pada setiap sesi latihan meskipun beliau hanya hadir untuk ujian percubaan selama dua minggu, namun isu masalah mendapatkan permit kerja buat Safee menjadi penghalang pengendali berkenaan menyunting terus pemain Pelita Jaya itu.
Safee yang menghubungi pengurus peribadinya, Zakaria Ab Rahim di tanah air memberitahu, peluangnya untuk menyarung jersi Cardiff City pasti lebih cerah andai Malaysia berada di ranking ke-70 atau ke bawah, sekali gus melepasi syarat mendapatkan permit kerja itu.
“Kekangan pihak imigresen di sana untuk mengeluarkan permit kerja adalah urusan Kementerian Dalam Negeri United Kingdom, bukan Persatuan Bola Sepak (FA) England. Safee dilihat sebagai mangsa keadaan dan birokrasi.
“Hanya kerajaan Malaysia sahaja yang boleh bantu dengan proses ‘Government to Government’ atas alasan tanggungjawab British membantu negara bekas jajahan takluknya atau Komanwel.
“Bagi saya, Malaysia layak diberi keistimewaan seperti mana rakyat kita dapat keistimewaan tanpa visa untuk ke United Kingdom. Jadi kerajaan Malaysia harus bantu dalam perkara ini untuk berbincang dengan pihak kerajaan Britain,” kata Zakaria, semalam.
Safee akan menjalani latihan bersama kelab berkenaan sehingga 26 September ini dan akan tiba di tanah air, dua hari kemudian.
Berita Harian
0 rungutan:
Post a Comment