ISA: PAS anggap kemenangan rakyat tapi gesa kerajaan mohon maaf | MagiC MenCari KeajaibaN

klik sini

Ruangan Churp

Saturday, September 17, 2011

ISA: PAS anggap kemenangan rakyat tapi gesa kerajaan mohon maaf


KUALA LUMPUR, 15 Sept – Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata pengumuman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah satu kemenangan buat rakyat selepas desakan dan tuntutan bertubi-tubi parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan serta orang perseorangan agar penguatkuasaannya dibatalkan.

Bagaimanapun tegas beliau, selaras dengan pemansuhan undang-undang penahanan tanpa perbicaraan itu, kerajaan juga perlu meminta maaf kepada rakyat kerana menahan puluhan orang sepanjang lima dekad lalu.

“Ya, ini satu kemenangan bagi rakyat di mana kerajaan hanya tunduk apabila rakyat mendesak.. misalnya kami mengadakan gerakan anti-ISA dua tahun lalu.

“Pun begitu, apa yang penting, pada pandangan saya pentadbiran Najib perlu meminta maaf kepada seluruh negara kerana menguatkuasakan undang-undang ini sejak 1960,” kata beliau (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pihaknya akan terus mengenakan desakan agar Putrajaya memansuhkan undang-undang yang bertentangan dengan hak asasi manusia.

Dalam pada itu, Senator Ezam Mohd Nor mengucapkan syabas dan atas keberanian Najib melakukan reformasi politik.

“Komitmen Perdana Menteri luar biasa kerana jarang parti yang memerintah akan lakukan perubahan drastik, yang selalu kita lihat ialah laungan reformasi kosong dari orang yang dipecat atau hilang kuasa ataupun dari kelompok yang belum berkuasa,” kata bekas tahanan ISA ini.

Ezam menambah, hari ini Najib membuktikan pemerintah yang sedang berkuasa mampu untuk melakukan perubahan dan “saya sendiri amat bersyukur dan gembira dengan keputusan Perdana Menteri.”

“Saya sertai BN parti pemerintah sebulan selepas reform berlaku daripada BPR ke SPRM, isu rasuah yang dekat dinadi perjuangan saya.

“Hari ini ISA dan OSA antara akta yang akan digubal dan dihapus, kedua-dua akta di mana saya pernah ditahan dan perjuangkan untuk perubahan,” kata bekas ketua pemuda PKR.

Presiden MIC Senator Datuk G Palanivel menyifatkan perkembangan ini sebagai perubahan mengikut peredaran semasa.

“Ia juga membuktikan bahawa kerajaan mendengar suara rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas.

Dalam pada itu, pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib yang dipetik Bernama Online berkata, keputusan itu memperlihatkan keyakinan Najib terhadap keupayaan masyarakat, termasuk anggota legislatif pembangkang, dalam melaksanakan proses transformasi secara menyeluruh.

“Berdasarkan pemansuhan ISA ini, secara tidak langsung, badan eksekutif dah beri sebahagian kuasanya dalam soal keselamatan kepada badan kehakiman dan legislatif, termasuk kepada rakyat secara amnya.

“Dan sepatutnya, mereka dalam sektor perundangan negara termasuk peguam-peguam di Majlis Peguam, perlu lebih berdisiplin dan harus menjadi neutral secara total, jangan lagi ada dolak-dalik dan berselindung di sebalik kegiatan politik. Dalam aspek ini juga, komitmen juga harus diberikan pembangkang dalam menjayakan hasrat transformasi ini,” katanya.

Beliau juga berkata keputusan itu tidak seharusnya membuka jalan kepada pihak tertentu untuk melakukan kegiatan subversif, sebaliknya ia harus dilihat sebagai langkah tepat bagi mengukuhkan sistem demokrasi, berfungsi dan inklusif seperti yang dinyatakan Najib.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan khas Hari Malaysia malam ini mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata undang-undang baru itu akan digubal di bawah ‘semangat serta payung’ Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Dalam perutusan itu, beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seksyen 27 Akta Polis 1967.

Mengulas lanjut, Md Shukri berkata seharusnya selepas ini tidak timbul lagi sebarang polemik nakal yang mendakwa sebarang langkah keselamatan oleh kerajaan adalah bersifat politik.

Selain itu, beliau berharap pembangkang mengemukakan alternatif bernas dalam proses penggubalan akta baru berdaya keselamatan yang lebih komprehensif dan bukan sekadar bermain sentimen politik.

Sementara itu, Presiden Makkal Sakhti Malaysia Datuk R.S. Thanenthiran berkata keputusan Najib membuktikan janji beliau ketika mula-mula memegang jawatan untuk menjadi ‘Perdana Menteri Rakyat’ benar-benar dilaksanakan.

Menyifatkan keputusan itu sebagai ‘sesuatu yang berani’, Thanenthiran berkata pemansuhan ISA sememangnya dinanti-nantikan oleh masyarakat.

“Ini satu transformasi yang begitu besar, begitu hebat, demi kesejahteraan rakyat, dan semua harus mengucapkan terima kasih atas ketelusan dan keberanian beliau.

“Saya percaya keputusan ini dibuat setelah pelbagai kajian dibuat dengan teliti dari semua aspek, masanya sesuai untuk pembaharuan. Dalam era kita menuju pemodenan, akta lapuk ini harus dimansuhkan,” katanya.

Beliau berkata keputusan itu bukan sahaja bakal melonjakkan imej BN malah Malaysia kerana masih ada negara maju yang mengamalkan ISA.

Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Kebangsaan Mokhtar Hussein menyambut baik keputusan kerajaan mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 secara menyeluruh dan berharap ia akan membawa perubahan positif.

“Sebarang perubahan positif terhadap akta itu akan memberi lebih ruang kepada pihak media di Malaysia untuk berperanan secara lebih konstruktif tanpa rasa takut.

“Ia juga akan mengangkat standard kewartawanan di negara ini ke tahap lebih tinggi dan meningkatkan tahap integriti media untuk memainkan peranan yang lebih baik dalam sebuah masyarakat demokratik,” katanya.

Malaysia Insider



0 rungutan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...