Magic mencari sesuatu yang mempunyai kebenaran walau pahit untuk di telan. Pahit itulah penawar. Mengharapkan suatu keajaiban.
Saturday, September 03, 2011
Sejarah: Cakaplah benar walaupun pahit
Oleh
Magic
KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, manusia perlu jujur dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.
“Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas isu kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang diputarbelitkan oleh media perdana.
Dalam isu sejarah kejadian Bukit Kepong yang dibangkitkan Mohamad dalam satu ceramahnya yang sengaja dijadikan isu kontroversi hangat oleh Umno baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas itu.
"Apakah British dan konconya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah?
“Kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.
"Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya. Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang,” kata beliau.
Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.
Ini disusuli pula dengan pelbagai kecaman daripada pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.
Tuan Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan dan jasa Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.
“Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat?” soal beliau.
"Disebabkan pada zaman British menjajah negara kita, British telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka, namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan, katanya maka kini, timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.
“Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM, PKM dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British.
"Atas penilaian inilah, kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang melawan penjajah British sebagai hero.
Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?” tanya beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
“Jika dua-dua pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya? Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya.
Katanya, secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam-putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat.
"Yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero,” terang beliau lagi.
Secara menafsir sejarah secara jujur, Tuan Ibrahim berpendapat bahawa semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun.
Namun demikian, kata beliau ia tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya “menghalau penjajah” – namun apa yang pasti, “menghalau penjajah” merupakan common goal yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain.
“Pada tahun 1950, adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi Merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu.
Selepas Merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan. Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British.
"Oleh itu, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis,” tegas beliau, sambil menambah sekiranya tafsiran sejarah dibuat secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi suatu-suatu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era.
“Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas Merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri SELEPAS menghalau penjajah,” kata beliau.
Kontroversi yang sama juga timbul pada sejarah tanahair yang paling kritikal iaitu di zaman peralihan antara Jepun dan British, katanya, di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British.
“Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.
"Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Professor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini,” nasihat beliau.
Mohamad dalam satu sidang akhbarnya di Perlis berkata kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.
Harakahdaily
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 rungutan:
Post a Comment