BARISAN pemain Selangor giat menjalani latihan di Padang SUK, Shah Alam semalam.
SELANGOR melaungkan amaran awal kepada barisan pencabar mereka dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Misi 'Piala Malaysia ke-33' dilancarkan semalam dengan matlamat utama untuk merampas kembali piala berprestij itu daripada genggaman penyandang juara, Kelantan.
Bagi merealisasikan misi tersebut, jurulatih Selangor, K. Devan menuntut agar kesemua barisan pemainnya menampilkan rentak permainan terbaik pada kempen Piala Malaysia yang telah memasuki edisi ke-85.
Bagaimanapun, Devan tidak mahu anak-anak buahnya dibuai dengan rekod cemerlang skuad Gergasi Merah pada kempen Piala Malaysia.
Beliau percaya jika mereka terlalu yakin atau beraksi sambil lewa, tidak mustahil Selangor akan kecewa lagi musim ini.
"Banyak aktiviti dilakukan menjelang Piala Malaysia, salah satu daripadanya adalah misi ini (Piala Malaysia ke-33), di mana saya nampak kami dapat satu semangat yang baik dalam pasukan.
"Ini juga telah menyedarkan semua pihak bahawa setiap aktiviti yang kita buat selama ini telah menyedarkan pemain bahawa seriusnya pihak pengurusan (Selangor) untuk menjulang Piala Malaysia musim ini," kata Devan ketika ditemui di majlis pelancaran misi 'Menjulang Piala Malaysia ke-33' di Padang SUK, Shah Alam, Selangor semalam.
Sementara itu, ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah menyeru rakan-rakan sepasukannya agar tampilkan aksi yang terbaik sepanjang saingan Piala Malaysia 2011.
"Semua pemain kini mempunyai semangat berkobar-kobar untuk menjulang Piala Malaysia.
"Ini kerana ia merupakan satu-satunya piala yang tinggal untuk tahun ini dan kami akan bekerja keras untuk merealisasikan misi kali ini.
"Kami sedar lawan yang menanti kami sepanjang kempen Piala Malaysia kali ini tidak akan memberikan laluan mudah, tetapi kami bertekad menampilkan aksi konsisten dan terbaik," ujarnya.
Katanya, Selangor kini sudah cukup bersedia untuk aksi pembukaan menentang pasukan berstatus kelab, T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.
"Saya harap bantuan daripada rakan-rakan sepasukan untuk saya menamatkan kemarau gol seterusnya memberi permulaan baik kepada Selangor," kata Amri.
Dari Kosmo!
0 rungutan:
Post a Comment