Magic mencari sesuatu yang mempunyai kebenaran walau pahit untuk di telan. Pahit itulah penawar. Mengharapkan suatu keajaiban.
Monday, August 29, 2011
Tiket bas tambahan kurang sambutan sempena musim perayaan
Oleh
Magic
KUALA LUMPUR: Sambutan orang ramai terhadap penjualan tiket bas tambahan untuk pulang berhari raya di saat-saat akhir Ramadan tahun ini hambar berbanding musim perayaan tahun lalu.
Tinjauan Bernama mendapati suasana di beberapa perhentian bas di ibu kota agak lengang dan menimbulkan keresahan kepada kerani kaunter tiket kerana penjualan tiket bas tambahan lembap memandangkan ramai sudah bercuti awal.
Di Pudu Sentral, kerani kaunter Syarikat Bas AB Ekspress Sdn Bhd, Rudhiah Awang, 53, berkata berbeza dengan tahun lalu, pada kali ini sambutan orang ramai untuk membeli tiket bas tambahan ke utara kurang menggalakkan.
"Keadaan itu berlaku walaupun jumlah bas yang beroperasi di Puduraya berkurangan daripada lebih seratus kaunter tiket syarikat bas di masa dulu kepada 50 kaunter pada masa ini.
"Harga yang kami tawarkan tetap sama dan tiada surcaj tambahan namun hari ini suasana lengang seperti hari-hari biasa," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Kerani kaunter Syarikat Season Ekspress Sdn Bhd, Zubaidah Baharom, 44, pula berkata, kekurangan sambutan terhadap bas tambahan kali ini kerana orang ramai membeli tiket pulang berhari raya sejak awal bulan lagi.
Beliau berkata, walaupun tidak mendapat sambutan, syarikat basnya tetap menyediakan bas tambahan ke utara dan kaunter tiket akan beroperasi pada hari raya pertama nanti.
Di Hentian Duta, kerani kaunter Syarikat Bas Cosmic Mesra Rakyat Express Nurul Fatihah Abu Hassan, 17 berkata, penjualan tiket yang dibuka pada awal bulan ini habis dijual namun tiket bas tambahan kurang menggalakkan.
"Kami menyediakan sebanyak lima buah bas bagi penumpang yang belum membeli tiket... selalunya di saat-saat akhir ini masih ramai lagi membeli tiket untuk pulang berhari raya," katanya.
Di Hentian Putra, Pegawai Operasi Syarikat Bas Sani Ekspress, Kamal Hanizan Muhammad, 30, berkata, orang Pantai Timur tidak perlu risau kerana tiket bas syarikat itu untuk pulang berhari raya masih ada sehingga esok.
"Semalam penjualan tiket bas tambahan ke Pantai Timur habis terjual dan kami telah menambah lima buah bas tambahan sehingga Isnin ini," katanya.
Kerani kaunter Cepat Ekspress Hassan Ali, 43, berkata, jika mendapat sambutan syarikat bas itu menyediakan sebanyak lima bas tambahan dan akan menurunkan harga tiket bas kepada mereka yang masih belum mendapatkan tiket pulang berhari raya pada tahun ini.
Sementara itu, di Alor Setar, Kedah, Norhayati Mohd Akhir, 28, kecewa dengan sikap penjual tiket bas tambahan yang menaikkan harga tiket dengan alasan sempena musim perayaan.
"Saya sangat kecewa dan terkejut dengan harga tiket bas Syarikat Pancaran Matahari Ekspres Sdn Bhd dari Alor Setar ke Kuala Lumpur yang naik sehingga RM45 berbanding harga biasa RM39.
"Kerani kaunter tiket itu hanya memberi alasan harga tiket bas naik sejak dua hari lalu sempena musim perayaan dan syarikat bas Transnasional Express Sdn Bhd juga menaikkan harga tiket sebanyak RM44 daripada harga biasa sebanyak RM39," katanya. - BERNAMA
Dipetik dari ladang Berita Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 rungutan:
Post a Comment